Kira-kira 200 bekas pelajar Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) menuntut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengembalikan semula pengiktirafan terhadap pusat pengajian itu.

Tuntutan itu susulan pengiktirafan MEDIU yang didakwa telah digantung sejak 2014 sekali gus menjejaskan aspek permohonan pekerjaan perkhidmatan awam.

Jurucakapnya, Mohd Zulnazmi Zulkifli berkata, walaupun Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) kekal mengiktiraf graduan MEDIU tetapi penggantungan KPT menyebabkan mereka tidak boleh memohon kerja dengan jabatan kerajaan.

"Pada 2014, pihak MEDIU mengetahui mengenai penggantungan pengiktirafan melalui web rasmi JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam).

"Selepas itu, dimaklumkan pihak MAIS (Majlis Agama Islam Selangor) dan JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) menghantar laporan kepada KPT berkaitan silibus subjek Aqidah di MEDIU," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, menurut Mohd Zulnazmi, JPA dan KPT tidak mengeluarkan sebarang surat kepada pusat pengajian tinggi swasta kampus Shah Alam itu susulan penggantungan berkenaan.

Selain itu, katanya, KPT juga tidak melakukan siasatan terhadap MEDIU malah terus menggantung pengiktirafan tanpa siasatan.

"Justeru, kami menuntut agar pengiktirafan semula kepada MEDIU secepat mungkin dari KPT, sebaliknya bukan melalui Jawatankuasa Penilaian Silibus Akidah MEDIU yang belum diketahui tempoh penyelesaiannya.

"Kami menuntut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh menjawab isu ini dalam masa seminggu dan kami mahu mengadakan pertemuan dengan pihak menteri.

"Jika tiada jawapan balas dan tindakan, kami akan buat tindakan yang lebih mendesak," kata kenyataan tersebut.

Terdahulu, kumpulan pelajar tersebut memaklumkan, KPT telah bermesyuarat dan membuat keputusan untuk tidak memberi pengiktirafan kepada MEDIU.

"Sehinggalah pada pertengahan tahun ini, KPT memaklumkan MEDIU perlu selesaikan dengan pihak MAIS dan JAIS berkaitan isu silibus berkenaan.

"Kami mahu nyatakan di sini bahawa ketidak setujuan dengan tindakan KPT yang terus menggantung pengiktirafan tanpa siasatan.

"Tindakan ini mengakibatkan graduan MEDIU menjadi mangsa dengan tergantung permohonan kerja di bawah perkhidmatan awam atau kerajaan," katanya.

Sementara itu, Malaysiakini sedang cuba menghubungi pihak KPT bagi mendapatkan maklum balas berhubung kenyataan bekas pelajar MEDIU tersebut.