Ku Nan: Kekecohan di Parlimen tiada kaitan Umno
Umno menegaskan parti itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kekecohan yang berlaku Parlimen semalam, apabila penyokong MP Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman 'menyerang' MP Shah Alam, Khalid Samad.
"Saya menegaskan bahawa ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Umno atau apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh kepimpinan parti," kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut berkata, Umno tidak menyokong apa-apa tindakan yang berunsurkan kepada pergaduhan atau pertelingkahan sambil menambah mendukung serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan sedia ada.
Bagaimanapun, Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan, berkata, Umno memandang serius terhadap sikap anggota parlimen yang menggunakan perkataan kesat dan memberikan gelaran berbaur negatif sehingga mengundang kemarahan ahli Parlimen lain.
"Umno menyelar tindakan sedemikian yang dianggap tidak rasional dan tidak matang malah bertentangan dengan etika dan sikap selaku wakil rakyat," tambahnya.

