340 penduduk Taman Idaman diarah pindah
Pihak polis mengisytiharkan kawasan tanah runtuh di Taman Idaman, Serendah di Hulu Selangor sebagai kawasan larangan Zon Merah.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt R Supramaniam berkata sehubungan itu pihaknya telah mengarahkan 340 penduduk berpindah ke Sekolah Rendah Agama Serendah.
"Kesemua mereka diarahkan berpindah sebelum pukul 1.45 petang ini. Setakat 11.45 pagi tadi, hanya 10 peratus penduduk yang berpindah. Kami minta kerjasama penduduk agar akur dengan arahan ini demi keselamatan mereka.
"Di sekolah ini, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat akan memainkan peranan menyediakan makanan kepada mereka. Penduduk akan ditempatkan di sekolah ini sehingga proses baik pulih selesai," katanya pada sidang media di lokasi kejadian.
Menurut Supramaniam, sebanyak 64 unit rumah terjejas dalam insiden tanah runtuh itu yang berlaku kira-kira 1 pagi tadi.
Beliau berkata penduduk tidak perlu merasa khuatir kerana anggota polis akan ditempatkan bagi mengawal kediaman mereka yang ditinggalkan.
Orang ramai juga tidak dibenarkan berada di kawasan kejadian yang merangkumi radius seluas 600 meter itu, katanya.
Satu lencongan jalan baru akan dibina segera untuk kegunaan penduduk, tambahnya.
Supramaniam berkata siasatan mendapati runtuhan tanah itu berpunca daripada pengaliran air bawah tanah yang deras.
"Hasil pemantauan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) ia (tanah runtuh) bukan daripada air paip," katanya.
Supramaniam berkata operasi membaik pulih serta memantau keadaan di lokasi kejadian disertai oleh pelbagai agensi antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Kerja Raya.
Kejadian itu turut menyebabkan seorang penunggang motosikal yang dikenali sebagai Mohd Fareez, 21, cedera dipercayai mengalami patah tangan dan kaki dan dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul ketika dihubungi Bernama berkata dalam kejadian itu, 10 buah kenderaan yang diletakkan di tepi jalan dan sebuah gerai makan di kawasan tersebut tercampak ke lereng bukit berdekatan.
Anggota Parlimen Hulu Selangor yang juga Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan turut melawat kawasan kejadian.
Gangguan bekalan air
Sementara itu, beberapa kawasan di Hulu Selangor mengalami gangguan bekalan air sementara ekoran insiden tanah runtuh di Jalan Utama Serendah Idaman yang menyebabkan paip air pecah.
SYABAS dalam kenyataan berkata kawasan yang terlibat adalah Desa Melor, Desa Anggerik, Taman Idaman, Kampung Orang Asli Serendah dan Pusat Serenti Serendah.
"Kerja-kerja pembaikan paip pecah sedang giat dijalankan. Jangka masa pemulihan tidak dapat ditentukan buat masa ini. Walau bagaimanapun, segala usaha sedang dilaksanakan untuk menyalurkan bekalan air alternatif," menurut kenyataan itu.
Bantuan bekalan air sedang dihantar melalui lori tangki ke kawasan terlibat selain tangki air statik juga telah dibekalkan di penempatan sementara.
Pengguna boleh memohon bantuan bekalan air dengan menghantar SMS ke 15300 dengan menaip: TANKER <jarak>Nama dan Alamat.
Pengguna juga boleh mendapatkan status terkini mengenai kerja-kerja pembaikan melalui www.syabas.com.my, aplikasi telefon pintar "mySyabas", Facebook "Puspel Syabas" atau "Air Selangor" .
- Bernama

