BERSATU tak kisah...
Selepas duduk sebaris dan sepentas pada beberapa majlis, tiba-tiba Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak pun dipelawa menghadiri persidangan tahunan DAP di Shah Alam minggu depan.
Namun bagi Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, ia bukanlah sebab untuk parti berkenaan bersikap dingin, berseteru atau merajuk
Malah kata bekas menteri besar Kedah itu, tindakan DAP tidak mempelawa wakil BERSATU ke Shah Alam pada konvensyen mereka 4 Disember ini tidak wajar dijadikan isu.
“BERSATU memang tak kisah apabila kami tidak dijemput. Persidangan DAP bukanlah sebesar Kongres Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini.
“Jadi tak mengapa kalau kami tidak dijemput,” ujarnya dilaporkan portal Sinar Harian hari ini.
Tidak seperti PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH), tiada jemputan diberikan DAP kepada BERSATU untuk menghadiri konvensyen berkenaan.
Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, dilaporkan berkata tindakan itu diambil kerana BERSATU bukan sebahagian daripada komponen HARAPAN.
Malaysiakini pada 25 November melaporkan Loke sebagai berkata, menjadi tradisi parti itu hanya menghantar jemputan kepada pemimpin parti yang membuat gabungan dengan mereka di peringkat kebangsaan.
Penulis pojok Mingguan Malaysia pula hari ini menganggap tindakan DAP itu suatu pengkhianatan.
Kata Awang Selamat DAP sepatutnya menghargai peranan Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengubah pendirian orang Melayu daripada benci kepada suka DAP.
"Apa salahnya menjemput beliau setidak-tidaknya atas kapasiti sahabat perjuangan DAP? Apakah beliau tiada nilai pada DAP? Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak sepatutnya memalukan Mahathir dan (BERSATU)," katanya.
Awang Selamat berkata alasan DAP bahawa Dr Mahathir dan BERSATU bukan sebahagian Harapan adalah rapuh dan tidak boleh diterima.
Menurut Mukhriz di sebalik perkembangan itu kerjasama BERSATU dan DAP masih erat dalam pelbagai isu lain.
“Tak kan nak merajuk kalau DAP tidak jemput kami,” katanya.

