Dua pertubuhan hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa mengecam tindakan disifatkan mereka sebagai gangguan berterusan ke atas kartunis Zunar yang ditahan ketika mengadakan pameran di Pulau Pinang Sabtu lalu.

Persekutuan Antarabangsa Untuk Hak Asasi Manusia (FIDH) dan anggotanya, Suaram, menyeru kerajaan "menamatkan serta-merta gangguan ke atas Zunar dan menggugurkan semua pertuduhan terhadapnya".

"Penangkapan semberono Zunar adalah gangguan terbaru sebuah kerajaan yang tidak bertoleransi terhadap sebarang bentuk perbezaan pendapat secara aman.

"Zunar seharusnya tidak lagi diganggu atau dilucutkan kebebasan melaksanakan hak asasnya untuk bebas bersuara," kata Presiden FIDH Dimitris Christopoulos dalam satu kenyataan hari ini.

Kartunis itu - nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque - ditahan mengikut Akta Hasutan pada Sabtu lalu kerana didakwa mengaibkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dia dibebaskan semalam selepas mahkamah menolak permohonan polis untuk mendapatkan kebenaran menahan reman selama empat hari. Sebaliknya mahkamah hanya memberi tempoh sehari kepada pihak berkuasa menyiasat serta mengambil keterangan daripada Zunar.

Semalam kumpulan Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) mengingatkan kerajaan, peruntukan seksyen 3(1)(c) tidak lagi wujud selepas Akta Hasutan dipinda pada 10 April 2015 dan diwartakan kira-kira dua bulan kemudian.

Seksyen 3(1)(c) itu - yang dikeluarkan semasa pindaan dibuat - menyatakan seseorang boleh dianggap menghasut jika mengkritik kerajaan.

Sebelum ditahan sekumpulan lelaki dipimpin Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Rafizal Abdul Rahim mengganggu pameran Zunar dan merosakkan karyanya di Komtar.

Pameran itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dilihat menjauhkan diri daripada insiden berkenaan dan menafikan partinya ada kaitan dengan serangan ke atas Zunar.

Malah kata Tengku Adnan Umno yang memperjuangkan nasib Melayu tidak pernah menggalakkan tindakan sedemikian.

"Ini (serangan ke atas Zunar) semua tidak ada kena mengena dengan Umno dan (sama juga) seperti yang berlaku di parlimen (serangan ke atas Khalid Samad). Saya sudah terangkan ini semua tiada kena mengena dengan Umno.

"Kita tak tahu dan Umno pusat tak menggalakkan apa yang sedang berlaku kepada Khalid Samad atau kepada Zunar. Kita tak galakkan, ini bukan kerja kita," kata Tengku Adnan.

[Baca berita penuh]