MCA kecam PAS ancam gagalkan pinda akta kahwin
Biro Keharmonian Agama MCA mengecam PAS kerana mengugut untuk menggagalkan pindaan undang-undang yang digubal bagi menghalang perbuatan salah laku dalam penukaran agama sepihak membabitkan individu di bawah umur.
Ketuanya Datuk Seri Ti Lian Ker berkata cadangan pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 - atau juga dikenali sebagai Akta 164 - ditunggu sekian lama kerana ia membolehkan mualaf mendapatkan pengesahan pembubaran perkahwinan di mahkamah sivil.
Katanya, pindaan akta itu akan memastikan kewajipan seseorang mualaf kepada bekas pasangannya dikekalkan.
"Untuk sekian lama, pasangan bukan Islam menanggung penderitaan dan ditinggalkan tanpa bantuan atau perlindungan mahkamah sivil, atau polis," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Sebaliknya, beliau berkata, rang undang-undang persendirian dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta 1965 meletakkan pesalah jenayah di bawah bidang kuasa mahkamah syariah dan mahkamah sivil.
"Pesalah jenayah Muslim akan berdepan hukuman lebih berat mengikut enakmen hudud (di sesetengah negeri) dan bercanggah dengan peruntukan Kanun Keseksaan yang menganggap semua suspek adalah sama.
"Pelaksanaan peruntukan hukuman bagi kesalahan jenayah perlulah sama kepada semua penjenayah," kata Ti.
Kenyatan itu dibuat sebagai reaksi MCA kepada penjelasan dibuat Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan pagi tadi.
Kata Takiyuddin tindakan pihak bukan Islam mengganggu usaha PAS meningkatkan peruntukan hukuman bagi mahkamah syariah mungkin menyebabkan perkara sama pada undang-undang melibatkan bukan Islam.
“Saya bagi contoh Akta 164 – Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian). Itu satu undang-undang yang ada kaitan dengan orang bukan Islam dari segi perkahwinan, penceraian dan hak penjagaan.
“Jadi kalau RUU355 diganggu, kita bimbang orang Islam tidak akan bersetuju dengan pembaharuan undang-undang, yang juga ada kaitan dengan orang Islam, terutamanya apabila pasangan itu masuk Islam dan sebagainya.
“Jadi kita minta, we must play a fair game. Jangan ganggu hak orang Islam dan kita harap orang Islam tidak akan menyusahkan orang bukan Islam," katanya.

