Jahara: Jawatan KM belum tentu jamin Melayu Pulau Pinang maju
Ketua Wanita Umno Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid membidas sikap orang Melayu di negeri itu yang sering mencari salah Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon apabila bangsa mereka masih ketinggalan dalam pelbagai bidang, terutama ekonomi.
Ketua Wanita Umno Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid membidas sikap orang Melayu di negeri itu yang sering mencari salah Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon apabila bangsa mereka masih ketinggalan dalam pelbagai bidang, terutama ekonomi.
"Kita tidak boleh menyalahkan orang lain, melainkan diri kita sendiri kerana orang Melayu sendiri tidak mahu bekerja kuat dan mengejar kemajuan sepertimana yang diusahakan oleh kaum lain," katanya.
Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan Umno
Bukit Mertajam yang mahukan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang digilirkan antara Gerakan dan Umno.
Ketika berucap di persidangan perwakilan Umno bahagian itu Ahad lalu, ketuanya Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir Musa dilaporkan meminta jawatan Ketua Menteri digilirkan sebagai membuktikan semangat tolak ansur dan persefahaman yang sedia terjalin dalam komponen Barisan Nasional (BN).
Menurut Musa, gesaan tersebut dibuat atas alasan Ketua Menteri sekarang, iaitu Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon tidak membela nasib golongan Melayu di negeri itu.
Malah, katanya, mesejnya kepada Tsu Koon ialah: "Orang Melayu Pulau Pinang hari ini tidak puas hati dengan kepimpinan anda''.
Musa berkata, soal siapa menjadi Ketua Menteri adalah penting kerana selama ini orang Melayu terus tidak mendapat pembelaan sewajarnya khususnya perkara berkaitan mendapatkan peluang perniagaan dan ekonomi.
Jangan bersikap hipokrit
Beliau turut meminta pemimpin-pemimpin UMNO negeri yang lain supaya tidak bersikap hipokrit dengan hanya berani bercakap isu itu di belakang
Mengulas lanjut mengenainya, Jahara lagi, orang Melayu perlu mengikis sikap mahu mendapatkan perlindungan dari kuasa politik pemerintah kerana kerajaan tidak boleh membantu mereka untuk selama-lamanya.
Katanya, kalau jawatan ketua menteri diberikan kepada orang Melayu sekalipun, ia belum tentu boleh membawa kemajuan kepada kaum Bumiputera di negeri tersebut.
Beliau berkata, Dr Koh telah melakukan segala-galanya untuk memajukan orang Melayu Pulau Pinang supaya dapat berdiri sama tinggi dengan kaum lain.
Bagaimanapun, katanya, orang Melayu sendiri tidak mahu berubah dan ini menyebabkan mereka ketinggalan, apabila dibandingkan dengan bukan Bumiputera, terutama dalam bidang ekonomi.
"Sikap menjadi penentu kepada kejayaan mereka. Jawatan ketua menteri hanyalah faktor sampingan semata-mata. Jangan fikir apabila orang Melayu menjadi ketua menteri, semua masalah mereka akan selesai," katanya ketika dihubungi malaysiakini .
Jahara berkata, kegagalan orang Melayu di Pulau Pinang adalah disebabkan oleh mereka sendiri yang terlalu berharap kepada kerajaan memberikan segala-galanya tanpa berusaha keras.
Enggan ubah sikap
Beliau mendedahkan bahawa setinggan dan penjaja Melayu dikenal pasti sebagai golongan yang tidak mahu berubah meskipun kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka.
Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi negeri. Dalam pilihanraya umum tahun lalu, Umno menguasai 14 kerusi, Gerakan (13), MCA (9), MIC (2) dan DAP (1) dan PAS (1).
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad juga dilaporkan berkata cadangan itu boleh dibawa ke perhimpunan agung parti sebagai usul jika mereka merasakan ia sesuai.
Beliau dilaporkan berkata, banyak usul yang dibahaskan di Perhimpunan Agung Umno akhirnya diterima dan menjadi dasar negara.
Oleh itu, tegas beliau, ahli-ahli parti perlu memikirkan usul yang lebih baik dan serius untuk diketengahkan.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pula dilaporkan berkata cadangan Umno Bahagian Bukit Mertajam kelmarin itu bukan isu baru tetapi sudah dibangkitkan beberapa kali.
Oleh itu, katanya, isu sistem penggiliran jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang tidak harus diperbesar, tetapi hendaklah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk diputuskan melalui semangat pemuafakatan BN.
Manakala Dr Koh pula dilaporkan berkata, terpulang kepada Majlis Tertinggi BN untuk memutuskan sama ada jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang harus digilirkan di kalangan parti komponen BN.
Katanya, perkara tersebut harus diuruskan dalam BN mengikut Majlis Tertinggi dan Jawatankuasa Perhubungan BN negeri.
Dr Koh juga berkata, sayap pelaburan Pulau Pinang, investPenang akan bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Malaysia (Matrade) dan Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (Smidec) untuk menggalakkan penyertaan yang lebih bermakna dan berkesan oleh semua kaum.

