Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah berkata dia dimaklumkan polis pihak berkuasa akan menghentikan siasatan ke atasnya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma.

Bagaimanapun kata Maria Chin, polis akan meneruskan siasatan ke atasnya mengikut "set" yang lain.

Maria Chin, 60, ditahan polis pada 18 November lalu, sehari sebelum berlangsungnya perhimpunan BERSIH5.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kemudian mengesahkan Maria Chin ditahan mengikut Sosma yang membenarkan pihak berkuasa menahannya sehingga 28 hari selepas mendapat kebenaran mahkamah.

Bagaimanapun Maria Chin dibebaskan petang tadi selepas ditahan selama 10 hari.

Minggu lalu peguam Maria Chin memfailkan permohonan habeas corpus bagi pihak anaknya dan dijadual didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok.

"Polis mengambil kenyataan (daripada saya) dan berkata mereka akan membebaskan saya. Mereka juga berkata satu set siasatan berlainan akan diteruskan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Walaupun tidak lagi disiasat mengikut Sosma, Maria Chin berkata, dia tidak pasti apa tindakan selanjutnya yang akan diambil polis.

Sosma digubal dan diluluskan pada 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dikritik hebat pelbagai pihak, terutama pembangkang.

Sosma diluluskan di parlimen pada 17 April 2012 dan diwartakan pada 22 Jun tahun yang sama.

Akta itu boleh membawa kepada hukuman mati mandatori ke atas sesiapa yang didapati bersalah.

Ketika dibahaskan kerajaan berjanji menggunakan peruntukan akta itu bagi menangani pengganas dan bukan kepada musuh politik pemerintah.

Menjelaskan keadaannya lagi Maria Chin berkata dia tidak pasti sama ada akan ditahan semula oleh polis, atau akan disiasat mengikut Sosma lagi selepas ini.

"Anda (Malaysiakini) sangat bertuah sebab dapat membuat temubual terakhir sebelum saya ditangkap (lagi)," katanya secara berjenaka.

Ditanya mengenai soalan polis sepanjang penahanannya, Maria Chin berkata, mereka mengemukakan pertanyaan sama sejak ditahan hingga dibebaskan.

"Tetapi mereka tidak puas hati dengan jawapan saya - tentang akaun BERSIH, Global BERSIH dan semua (isu) mengenai George Soros. Mereka sangka kami masih ada hubungan.

"Tetapi mereka sudah mengambil kebanyakan barang kami (semasa serbuah menjelang BERSIH5 baru-baru ini). Sepatutnya mereka sudah tahu (mendapat maklumat yang diperlukan) sekarang," tambahnya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS