Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membatalkan pembelaan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan blogger Chan Chee Kong bahawa kenyataannya itu adalah berasarkan ulasan saksama (fair comment).

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusof, yang mengetuai panel tiga hakim itu berkata mereka bersetuju dengan hujah yang dibangkitkan oleh peguam mereka semasa penghujahan semalam.

Hakim lain yang bersidang sama adalah Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Pengurusan kes kemudiannya ditetapkan pada 8 Disember di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Rafizi dan Chan berkata di sebalik keputusan hari ini, Rafizi masih boleh bergantung kepada pembelaan lain yang dikemukakan dalam pernyataan pembelaan, termasuk perlindungan bersyarat.

Pada 15 April lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noraini Abdul Rahman menolak permohonan Najib untuk membatalkan pernyataan pembelaan kedua-dua defendan.

Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman ke atas Rafizi dan Chan kerana komen naib presiden PKR itu dalam satu ceramah berkaitan pengurangan subsidi minyak.

Kenyataan itu diterbitkan oleh Media Rakyat yang dimiliki oleh Chan.

Mereka mendakwa ucapan Rafizi dirakamkan Media Rakyat dan dimuat naik Chan dalam laman sesawang YouTube Media Rakyat dan portal media rakyat di bawah tajuk 'Rafizi Ramli: Kenapa Kita Pertahankan Subsidi Minyak'.

Najib dan Rosmah juga mendakwa rakaman yang sama turut dikongsi Chan dalam akaun Facebook Media Rakyat yang boleh diakses secara bebas oleh pengguna internet di seluruh dunia.

Mereka menuntut kedua-dua defendan membayar ganti rugi am, tambahan dan teladan yang patut menurut mahkamah, kos dan faedah.

Najib dan isteri memohon untuk membatalkan pembelaan defendan menggunakan ulasan saksama berdasarkan perkataan yang dipertikaikan bukan satu komen berpatutan, sebaliknya ia adalah fakta.

Najib dan Rosmah diwakili peguam Wan Azmir Wan Majid.

[Baca berita penuh]