Umno mesti membantu rakyat untuk mentafsir semula makna demokrasi dan mengelak ia difahami sebagai demonstrasi, kata naib presiden parti itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam ucapan perasmian tiga sayap Umno di PWTC, Kuala Lumpur malam ini Ahmad Zahid berkata demonstrasi bukanlah pengukur demokrasi.

"Demokrasi politik seharusnya diterjemahkan melalui proses pilihan raya. Parti mana yang menang maka parti itulah yang sah memerintah negara, tetapi sekarang tidak lagi.

"Demokrasi kini dipadankan dengan demonstrasi. Bagi mereka, berdemonstrasi dianggap sebagai parameter kepada demokrasi. Sesiapa yang menentang amalan demonstrasi, maka mereka dianggap sebagai tidak demokratik," katanya.

Mengimbau semula pengalamannya semasa bergelar mahasiswa Ahmad Zahid berkata, beliau sendiri pernah mengetuai demonstrasi untuk menjuarai isu-isu rakyat dan berharap kerajaan mendepani permasalahan itu untuk diselesaikan.

Namun katanya mereka tidak langsung berniat untuk menggulingkan kerajaan. Keadaan kini, menurut beliau, adalah berbeza.

"Demonstrasi sekarang lebih bersifat meruntuh, menghancur dan konfrontasional.

"Lebih parah lagi, demokrasi juga ditafsirkan sebagai kebebasan mutlak termasuk dalam penerimaan bantuan hatta daripada organisasi asing sekali pun," katanya lagi.

Pemikiran miskin dan bercelaru

Perasmian mesyuarat agung tahunan untuk pergerakan pemuda, wanita dan puteri Umno malam ini menandakan permulaan Perhimpunan Agung Umno ke-70.

Ia berlangsung sehingga 3 Disember dengan majlis perasmian dan ucapan dasar presiden berlangsung pada 1 Disember.

Perhimpunan kali ini diadakan ketika beberapa tokoh kanan politik - seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir - mengambil sikap berseteru secara terbuka dengan bekas parti mereka.

Semua tokoh terbabit sudah meninggalkan Umno dan bergerak dalam pertubuhan baru, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Menurut Ahmad Zahid, Umno perlu membantu rakyat memahami maksud demokrasi ketika fahaman liberal semakin mencengkam dan menghantui generasi pascamodenisme.

Katanya aliran pemikiran mereka sedikit demi sedikit menjadi songsang dan mengelirukan.

"Pemikiran mereka tampak jelas miskin dan sungguh bercelaru.

"Menurut sarjana Islam tersohor, Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, situasi ini (dianggap) sebagai sindrom kefasadan pemikiran," katanya.

Tambah Ahmad Zahid orang Umno dan rakyat tidak sepatutnya mudah terpengaruh dengan fahaman liberalisme yang didakwanya semakin menghampiri negara ini.

'Siapa haprak ni?'

Kita perlu sentiasa jelas bahawa demokrasi bagi negara kita adalah kebebasan yang beralaskan perlembagaan serta bersulamkan undang-undang.

"Maka, saya seru kepada semua sayap-sayap Umno untuk bersama-sama berdiri teguh bersama presiden dan saya untuk memperbetulkan keadaan ini.

"Kita tolak Open Society yang membiayai negara-negara yang dihasratkan untuk dikuasai demi kepentingan pembiayanya," katanya.

Dalam ucapannya Ahmad Zahid turut mengambil kesempatan mengecam tokoh yang pernah menjadi presiden parti itu.

Tanpa menamakan sesiapa Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata negara ini tidak perlukan seorang pemimpin seperti maharaja Rome, Septimius Severus, yang pernah menjadi pemerintah kuku besi.

"Keamanan dan kemajuan empayar di zamannya dicapai melalui cara pentadbiran yang keras.

"Pegawai dan rakyat semua takut kepadanya. Ahli sejarah semua sepakat menyimpulkan bahawa beliaulah sebenarnya yang telah menanam benih-benih kehancuran empayar Romawi yang penuh keagungan itu," katanya.

Pada kesempatan itu beliau bertanya kepada pewakilan serta pemerhati sama ada mereka masih ingat "seorang nakhoda" yang mengungkapkan kata-kata "Melayu mudah lupa" dan "Melayu Haprak".

"Malang sekali, nakhoda pengungkap Melayu haprak itu telah terjun dari bahtera Umno ini. Sebenarnya siapakah yang haprak ni?" katanya.