Melayu perlu buang mentaliti defensif, gesa Khairy
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini menggesa orang Melayu agar membuang mentaliti defensif dan mengejar kemajuan.
Selama berpuluh tahun, identiti politik Melayu didominasi dua perkara iaitu kepribumian Melayu-Islam yang dipertahankan dan keperluan untuk membantu kedudukan ekonomi Melayu yang terkebelakang, katanya.
Bagaimanapun, ujar Khairy, perkara itu bukanlah satu-satunya perjuangan orang Melayu.
"Cuma persoalannya sekarang, adakah itu sahaja erti perjuangan Melayu?
"Takkan kita defensif sangat. Takkan polemik Melayu hanya dilihat dari keadaan yang sentiasa lemah dan hanya perlu terus dibantu sahaja.
"Saya percaya tidak,” tambah beliau semasa berucap pada mesyuarat agung tahunan Pemuda Umno di Kuala Lumpur.
Beliau yang juga menteri belia dan sukan berkata, kerangka minda Melayu sudah sedia untuk lebih diregang supaya tidak hanya menjadi bangsa yang meminta-minta, anti-ilmu, anti-persaingan dan hanya mencari tongkat.
Oleh itu, tambah beliau, sejajar dengan matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang ditetapkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, orang Melayu mesti menjadi satu bangsa yang maju dan mempunyai agenda, selain lebih berdaya saing.

