Polis menegur tindakan Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah yang mungkin merosakkan bahan bukti dengan memegang peluru ancaman yang dipos padanya.
“Dia pula pegang nak tunjuk pada orang. Cap jari dialah yang kita dapat. Jadi kalau ada apa-apa, simpan, jangan usik, serahkan kepada kita untuk kita siasat.
“Jangan rosakkan bahan bukti yang ada. Sekarang apa kita nak cari lagi? Cap cari dia kita dapatlah,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Selepas dibebas daripada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), Maria semalam menyedari sebutir peluru dipos bersama surat amaran kepadanya.
Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur, beliau turut menunjukkan peluru dan surat amaran itu kepada media, termasuk memegangnya dan meletakkan di atas tapak tangan.
Khalid bagaimanapun menegaskan polis akan menyiasat perkara itu seperti semua laporan lain yang diterima mereka.
“Kita bukan duduk diam,” katanya.
