Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengakui bahawa dirinya mengkagumi semangat presiden parti itu Datuk Seri Najib Razak.

Malah katanya beliau dapat melihat kesucian hati Najib dalam meneruskan usaha membantu rakyat di negara ini.

"Saya amat mengagumi semangat Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Shahrizat berkata demikian dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.

Bekas ahli parlimen Lembah Pantai itu turut mengajak Wanita Umno supaya mencontohi semangat waja yang ditunjukkan Najib.

"Wanita (Umno) perlu bijak kenal pasti keperluan semasa rakyat.

"Kita perlu berani perjuangkan hak untuk terus berkebajikan kepada rakyat," katanya di hadapan seramai 997 perwakilan Wanita Umno hari ini.

Menurut Shahrizat, sekiranya Wanita Umno terus menabur bakti kepada rakyat, parti itu tidak akan ada masalah untuk berdepan dengan mana-mana parti serpihan selepas ini.

"Politik hari ini tidak sama seperti politik 70 tahun dahulu. Politik hari ini berdepan dengan cabaran luar biasa.

"Selepas diteliti, politik di negara ini juga berdepan dengan situasi yang sama. Maka dengan itu, sebagai ibu terbaik bangsa, kita harus menangani terbolen politik ini dengan wadah yang bijaksana, dan wasilah yang terpimpin," katanya.