Polis tidak hubungi peguam bagi kesan mualaf
Peguam yang mewakili mualaf Mohd Ridhuan Abdullah atau K Pathmanathan berkata polis tidak menghubunginya berhubung kedudukan anak guamnya.
Hatem Musa, bagaimanapun berkata beliau bersedia untuk membantu jika polis menghubunginya.
"Saya akan cuba yang terbaik (jika polis mahu)," katanya kepada pemberita, bahawa dirinya mewakili beliau Ridhuan dalam kes penukaran agama dan bukannya perkara lain berkaitan hak penjagaan anak.
Dua minggu lalu, beliau memaklumkan kepada mahkamah dan pemberita bahawa beliau berjaya menghubungi Mohd Ridhuan dan menerima arahan melalui pihak ketiga.
Hatem tidak mendedahkan siapa pihak ketiga itu, tetapi berkata beliau percaya anak guamnya masih di negara ini.
Mohd Ridhuan sepatutnya hadir untuk perbicaraan Mahkamah Persekutuan hari ini.
Dia dan bekas isterinya Indira Gandhi terbabit dengan perebutan hak penjagaan anak mereka yang berikutan penukaran agama unilateral anak-anak mereka kepada Islam.
Terdahulu, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang mempengerusikan panel lima hakim menyoal sama ada Ridhuan, yang telah dikeluarkan waran tangkap dan polis yang diperintahkan untuk mencarinya, hadir di mahkamah.
Hakim Zulkefli memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak senang dengan pihak polis yang tidak dapat melaksanakan perintah itu.
"Kita tidak mahu rakyatberkata mahkamah tidak peduli, sebab kita mahu tahu (di mana Mohd Ridhuan berada).
"Jadi, waran tangkap masih belum dilaksanakan, dan dengan semua (kuasa) penguatkuasaan (yang kamu ada) kamu (polis) tidak boleh mengesan (dia)," kata hakim itu yang jelas kelihatan marah.

