Ketika undang-undang konservatif masih dipraktikkan di Arab Saudi, seorang hartawan dan bangsawan negara itu berkata kerajaan perlu menamatkan "segera" larangan memandu ke atas wanita.

Putera Al-Waleed Talal berkata sekarang adalah masa untuk mengizinkan wanita memandu di Arab Saudi.

"Melarang wanita memandu kenderaan pada hari ini adalah isu hak asasi, sama seperti seseorang melarang wanita mendapat pendidikan atau identiti," katanya dalam satu kenyataan.

Al-Waleed, 61, adalah hartawan yang dikenali sering bersuara lantang dan tidak teragak-agak mengkritik dasar kerajaan yang diterajui keluarga diraja negara itu.

Beliau adalah sebahagian daripada keluarga besar bangsawan Arab Saudi tetapi tidak memegang sebarang jawatan politik.

Antara pembabitan perniagaannya ialah menjadi pengerusi Kingdom Holding Co yang mempunyai kepentingan dalam syarikat perbankan Citigroup dan taman tema Disney Eropah.

Ulama tempatan mengeluarkan fatwa mengharamkan wanita memandu di negara itu sejak sekian lama.

Ada juga ulama mengaitkan larangan itu dengan mengaitkan ancaman terhadap kemampuan seseorang wanita untuk hamil.

Terdahulu Al-Waleed menulis di Twitter: "Hentikan perdebatan: Kini masa untuk wanita (dibenarkan) memandu."

Dalam kenyataan lanjutnya Al-Waleed berkata larangan ke atas wanita itu tidak adil dan dibuat oleh masyarakat tradisional.

"Ia jauh lebih mengekang berbanding apa yang dibenarkan agama," katanya.

Kekangan itu juga katanya menambah bebanan kos kepada wanita kerana mereka terpaksa bergantung kepada pemandu teksi untuk ke sesuatu lokasi.

"Membenarkan wanita memandu kini adalah tuntutan segera berdasarkan keadaan ekonomi semasa," katanya.