Terjemahan Satu petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menjalani hukuman penjara selama enam tahun kerana kesalahan rasuah, telah diserahkan kepada Istana Negara semalam.

Petisyen itu diserahkan oleh Sekretariat Pengampunan Anwar (Sepa) "untuk membolehkan Anwar menjalani hidup sebagai warga biasa, bebas dan boleh mengambil bahagian dalam apa bentuk akitiviti politik."

Sektretariat itu diterajui oleh kawan-kawan lama bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Pengerusinya, Mohd Zaki Abdul Rahman berkata, beliau dan setiausaha sekretariat itu, Radzi Mustapha telah menyerahkan memorandum tersebut di Istana Negara pada jam 2.45 petang semalam.

Katanya, petisyen itu ditandatangani oleh 14 individu yang terdiri daripada bekas pegawai kanan kerajaan, pengarah syarikat, peguam dan ahli perniagaan.

Mereka termasuk bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi Prof Datuk Dr Nik Mohd Zain Nik Yusof; bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ahmad Ismail; dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk A. Aziz Deraman.

Yang lainnya ialah Mohd Annuar Mohd Salleh (pengarah syarikat) dan Muanaf Abdul Latif (pegawai bank), Muhamad Munawar (ahli perniagaan), Syed Othman Syed Mohd (Angkatan Belia Islam Malaysia), Nor Anuar Hashim (pengarah syarikat), Mohd Sayuti Omar (penulis bebas), Aspan Alias (ahli perniagaan) serta Mohd Zaki dan Radzi sendiri.

"Mereka mewakili 1,236 peserta Konvensyen Pengampunan Anwar yang diadakan pada 1 Mei lalu," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Menurut Mohd Zaki, salinan petisyen tersebut juga dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad badawi, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman dan Peguam Negara, Datuk Abdul Gani Patail.

Pihak ketiga boleh memohon

Beliau berkata, alasan petisyen ialah Anwar telah menjalani hukuman melebihi tempoh sepatutnya, beliau cedera semasa dalam tahanan kerana dipukul oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor dan sabitan kes pertama tidak relevan setelah sabitan kedua diketepikan.

Katanya, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris dan bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim juga telah diberi pengampunan diraja.

Mohd Zaki yang juga bekas pengarah Jabatan Sukan di Kementerian Belia dan Sukan menjelaskan, tidak ada agenda politik di sebalik usaha untuk mendapatkan pengampunan diraja bagi Anwar.

Katanya, Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan membenarkan pihak ketiga untuk mendapatkan pengampunan diraja.

"Anwar tidak menandatangi petisyen tersebut. Beliau juga tidak menyuruh kami berbuat demikian tetapi kami melakukannya," kata beliau.

Setiausaha Sepa Md Radzi berkata, berdasarkan perkiraan Anwar terlebih setahun menjalani hukuman penjara setelah menjalini hukuman penuh enam tahun kerana kesalahan rasuah.

Selain selesai menjalani hukuman bagi kesalahan itu, Mahkamah Persektuan pada 2 September lalu, telah membebaskan bekas timbalan perdana menteri itu selepas membenarkan rayuannya terhadap sabitan bagi satu kesalahan liwat.

Katanya, beliau dan beberapa orang yang menandatangani petisyen itu adalah ahli Umno dan berpendapat tindakan mereka itu tidak melanggar peraturan parti.

"Sejauh yang kami tahu, Umno tidak pernah membuat pengumuman atau pendirian menghalang mana-mana ahli Umno mendapatkan pengampunan diraja (untuk Anwar)," kata beliau, dan menambah, menurut undang-undang, mana-mana kumpulan atau individu boleh mengemukakan petisyen untuk pengampunan diraja.