Terminal Bas Hentian Putra telah dijual kepada Umno beberapa tahun lalu, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abdul Aziz.

"Kami menjual kepada Umno. Saya tidak ada (butiran) tetapi saya pasti ia dijual kepada Umno bukan tahun lepas, tetapi beberapa tahun lalu.

"Rasanya, sekitar RM300 juta lebih. Saya tidak begitu pasti. Bagaimanapun, bangunan itu (sudah) agak lama," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Penguatkuasa DBKL Ke-47 di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.

Terminal Hentian Bas Putra akan menjadi sebahagian daripada projek pembangunan semula Pusat Dagangan Dunia Putra.

Ia akan digantikan dengan pejabat 70 tingkat dan menara hotel.

Projek ini diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dua hari lalu.

Ini menimbulkan persoalan daripada beberapa wakil rakyat pembangkang termasuk Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai, yang ingin tahu bagaimana bangunan awam boleh menjadi milik Umno.

"Setakat yang saya tahu, tanah itu digunakan sebagai tempat letak kereta dan dimiliki oleh DBKL. Tetapi tiba-tiba ia akan menjadi sebuah bangunan baru Umno yang kerja-kerjanya akan dimulakan segera.

"Orang ramai akan tertanya-tanya apa saluran yang digunakan oleh Umno untuk mendapatkan tanah itu dan sama ada terdapat tekanan politik, komersial yang rasmi untuk merampas sebidang harta awam?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[Baca berita penuh]