Tak ramai rakyat Pagoh sertai BERSATU
Pemangku ketua Umno bahagian Pagoh, Ismail Mohamed berkata, sokongan rakyat kawasan itu terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilihat tidak memberangsangkan.
Katanya, walaupun Muhyiddin dilihat masih lagi pulang ke kawasan itu untuk sama-sama solat Jumaat sebulan sekali, namun ternyata rakyat Pagoh tidak dapat menerima sepenuhnya apa yang telah dilakukan oleh bekas timbalan perdana menteri berkenaan.
"Saya lihat dia masih balik kawasan, hari Jumaat untuk sembahyang Jumaat sebulan sekali.
"(Tetapi) sokongan agak merosot jauh semasa dia bersama kita (Umno). Orang Pagoh tak dapat menerima sepenuhnya apa yang dilakukannya ini," katanya ketika ditemui pemberita semasa Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Malah, selaku individu yang menggantikan Muhyiddin, Ismail memberitahu sambutan penduduk setempat sekiranya pemimpin BERSATU hadir ke kawasan itu juga tidak ramai.
"Memang ada sertai parti baru itu tapi tak ramai. Muhyiddin dulu pernah terapkan kesetiaan pada parti dan pemimpin cawangan dan sayap masih bersama Umno.
"Angka jelas (sertai BERSATU) kita tiada. Tetapi ketika kehadiran pemimpin besar pun tak ramai (masyarakat) turun.
"Kita tengok ahli yang pure Umno pun tak ramai sertai mereka. Ini memang memeranjatkan mereka," katanya lagi.
Sehubungan itu, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang, Ismail menyatakan kesediaannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Pagoh.
Beliau turut berjanji untuk memastikan Pagoh akan terus dikuasai BN.
"Saya tiada halangan. Kalau itu keperluan saya untuk bertanding. Sebagai ketua di Pagoh, saya yang sepatutnya menempuh Muhyiddin.
"Saya penuh yakin dan tiada masalah masyarakat untuk menyokong saya. Dengan jentera dan sokongan yang ada, kita yakin boleh menang," ujarnya.
Muhyiddin sebelum ini menjadi ketua Umno bahagian Pagoh sebelum dipecat daripada parti dan kini menjadi presiden BERSATU.

