Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib muat naik sendiri gambar rumah, kucing di Twitter

Walaupun jadual sehariannya padat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengakui masih sempat memuat naik status di Twitter.

Walaupun beliau mempunyai pasukan yang menguruskan akaun itu, namun status santai dan gambar-gambar di rumah dimuat naik sendiri olehnya.

“Akaun Twitter tu akaun saya. Saya ada dua kaedah, saya tweet sendiri dan ada team saya.

“Kalau tweet agak formal itu team saya yang buat, kalau agak santai saya yang tweet mereka boleh tahu kerana ejaan salah.

“Biasanya (tweet santai) saya buat sendiri, gambar di rumah, gambar dengan kucing,” kata Najib sambil ketawa.

Najib berkata demikian dalam majlis soal jawab bersama Perdana Menteri dan One SSM Plus Carnival di Medan Mara, Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu beliau ditanya siapakah yang mengawal akaun Twitternya memandangkan presiden Umno itu dilihat aktif di media sosial.

Najib berkata, beliau mempunyai masa yang terhad, namun akan sedaya upaya membahagi masa secara seimbang bersama keluarga.

Katanya, beliau turut bersenam sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

“Hari ini tidak boleh seimbangkan tapi saya cari masa untuk senaman dan work out dalam gym, saya ada jurulatih yang mendera saya satu jam,” katanya berseloroh.

Malah Najib turut berkongsi bahawa sekiranya bersenam sendiri tanpa jurulatih, beliau akan ‘tipu sedikit’.

“Saya kena akui biasanya saya dapat dua kali dengan trainer dan mungkin saya buat sendiri. Kalau saya buat sendiri saya tipu sikit,” katanya sambil ketawa.

Najib ketika ditanya pernahkah membeli barangan atas talian berkata:

“Pernah tapi saya beli lagu online, lagu orang lama tapi ada juga lagu kontemporari macam Bruno Mars. Lagu lama-lama tu tak perlu saya bagi tahu nanti tahu saya di era mana,” katanya sambil ketawa.

Lihat Komen
ADS