Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Perak terus meningkat kepada 109 orang setakat 7 pagi ini, berbanding 88 orang malam semalam.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak 71 orang adalah dari Kampung Padang Serai, Manjung dan mereka ditempatkan di Sekolah Rendah Agama Rakyat Kampung Padang Serai.
Sementara itu, 38 lagi dari Kampung Pengkalan Ara dekat Sungai Manik daerah Hilir Perak ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ara.
Banjir di kedua-dua kampung itu adalah akibat hujan berterusan sejak beberapa hari lalu sehingga menyebabkan air bertakung dan ketika ini cuaca mendung.
Sementara itu, mangsa banjir di Kelantan kekal 67 orang sehingga 8 pagi ini, menurut portal rasmi kerajaan Kelantan.
Menurut portal http://ebanjir.kelantan.gov.my, semua mangsa masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Raja, Pasir Puteh (26 orang), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor, Bachok (12 orang), dan SK Tiong, Kota Bharu (29 orang).
Laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan paras air sungai Kelantan di Sungai Golok, Rantau Panjang di Pasir Mas pada 7 pagi ini menurun kepada 7.34 meter berbanding 7.81 meter pada 8 malam semalam.
Paras berjaga-jaga bagi sungai berkenaan adalah tujuh meter.
Cuaca pada pagi ini adalah cerah.
- Bernama
