Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas juruteknik dipenjara, denda kerana beri rasuah RM500
Diterbitkan:  Dec 5, 2016 1:46 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Padah memberi rasuah RM500 kepada seorang pegawai polis, bekas juruteknik Hairulnizam Abdul Hamid dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Hakim Mohd Nasir Nordin turut memerintahkan bekas pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu menjalani hukuman penjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda itu.

Hairulnizam, 44, mengaku bersalah terhadap pertuduhan secara rasuah memberi suapan RM500 kepada Inspektor Mudzaffar Shah Zulkefli di premis kedai, No 41-1 Jalan SP 1, Taman Semabok Perdana, di sini, pada 6.45 petang, 23 Ogos lepas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sebagai dorongan untuk membuat sesuatu yang berhubungan dengan hal ehwal prinsipal iaitu tidak mengambil tindakan ke atas tertuduh kerana bermain judi dalam talian secara haram mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Bapa dua orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut jumlah yang lebih tinggi.

Mahkamah memerintahkan Hairulnizam menjalani hukuman penjara itu pada hari ini.

Dalam penghakimannya, Mohd Nasir berkata memberi dan menerima rasuah adalah kesalahan yang serius dan berdosa besar, kerana perbuatan keji itu bertentangan dengan ajaran agama Islam.

"Dahlah kamu bermain dan membantu dalam perjudian haram kemudian kamu memberi rasuah, kamu dah sia-siakan 22 tahun kamu berkhidmat di TNB. Saya harap kamu bertaubat dan mohon ampun daripada Allah," kata Mohd Nasir.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Ahmad Faizul Abd Rashid memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.

Hairulnizam yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan tertuduh telah diberhentikan kerja sejak Julai lepas dan perlu menjaga ibunya di Johor selain menanggung anak-anak yang masih bersekolah.
 

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS