Mangsa banjir di Kelantan menurun
Jumlah mangsa banjir di Kelantan turun kepada 55 orang tengah hari ini berbanding 67 pagi tadi, menurut portal rasmi kerajaan Kelantan.
Menurut http://ebanjir.kelantan.gov.my, mangsa ditempatkan di tiga pusat pemindahan banjir iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Raja, Pasir Puteh (26 orang) dan SK Tiong, Kota Bharu (29 orang).
Operasi di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor, Bachok yang sebelum ini menempatkan 12 mangsa, ditutup tengah hari ini.
Menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran, paras air sungai Kelantan di Sungai Golok, Rantau Panjang di Pasir Mas setakat 12 tengah hari tadi turun kepada 7.14 meter berbanding 7.34 meter pada 7 pagi tadi.
Paras berjaga-jaga bagi sungai berkenaan adalah tujuh meter. Cuaca pada tengah hari ini adalah cerah.
-Bernama

