Mahkamah tolak rayuan Majlis Peguam terhadap Cecil Abraham
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak rayuan Majlis Peguam terhadap keputusan Lembaga Disiplin untuk membersihkan peguam kanan Cecil Abraham daripada salah laku profesional.
Ini adalah berkaitan dengan peranan peguam itu dalam merangka akuan bersumpah kedua penyiasat persendirian P Balasubramaniam.
"Mahkamah tidak menjumpai sebarang alasan untuk mengganggu keputusan untuk campur tangan dengan keputusan Lembaga Tatatertib Peguam Bela dan Peguam Cara," kata peguam Majlis Peguam Lai Chee Hoe.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar mahkamah selepas perbicaraan di dalam kamar yang dipengerusikan oleh hakim Datuk Hanipah Farikullah.
Cecil diwakili oleh peguam Rishant Singh.
Lai berkata Rishant memohon RM150,000 sebagai kos, tetapi hakim memutuskan untuk tidak membuat sebarang perintah mengenai kos kerana Majlis Peguam semata-mata melaksanakan kewajipannya di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976.
Lai berkata beliau akan mendapatkan arahan daripada Majlis Peguam sama ada untuk merayu terhadap penolakan itu.
Balasubramaniam membuat akuan bersumpah pertamanya pada 1 Mac 2008 yang antara lain mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes pembunuhan model warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.
Beliau membuat akuan bersumpah kedua, tiga hari kemudian untuk menarik balik akuan yang pertama, dan kemudiannya melarikan diri. Sekembalinya ke Malaysia hampir lima tahun kemudian, beliau mendakwa deklarasi kedua itu dibuat di bawah paksaan.
Najib berulang kali menafikan penglibatan dalam pembunuhan itu.

