Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menjadi pemimpin terbaru yang diarahkan oleh polis untuk tampil membantu siasatan mereka berhubung perhimpunan BERSIH5 pada 19 Novmber lalu yang bertempat di Kuala Lumpur.

Santiago yang diarahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di Kuala Lumpur hadir dan memberikan kenyataan saksi.

Beliau berkata, dalam surat yang dihantar kepadanya, polis menyatakan mereka menjalankan siasatan di sekitar kawasan stesen LRT Bangsar di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Perhimpunan Aman, berdasarkan laporan polis yang dibuat.

Menurut surat itu, Santiago dipercayai dapat membantu siasatan polis.

Walau bagaimanapun, ahli parlimen DAP itu berkata ketika tiba untuk disoal siasat, beliau dimaklumkan bahawa tidak ada laporan polis yang dibuat terhadapnya.

"Sebaliknya mereka minta saya untuk memberikan maklumat. Mereka minta pengesahan sama ada saya berada di Bangsar, sama ada saya memberi sebarang ucapan dan jika saya boleh mengenal pasti beberapa orang.

"Saya beritahu mereka ucapan saya adalah mengenai pentingnya pilihan raya yang bebas dan adil.

"Saya juga beritahu mereka bahawa saya tidak kenal rapat dengan mereka (orang yang mereka mahu saya mengenal pasti)," kata Santiago kepada Malaysiakini.

Beliau percaya berdasarkan cara soal siasat, polis mungkin merancang untuk memanggil lebih ramai orang untuk disoal siasat.

Setakat ini, polis telah menyoal sekurang-kurangnya sembilan pemimpin Pakatan Harapan berkaitan dengan perhimpunan BERSIH5.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS