Suhakam sokong kanak-kanak pilih agama pada usia 18 tahun
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyokong pindaan kepada Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan Dan Perceraian) 1976 atau Akta 164 untuk membolehkan kanak-kanak menentukan sendiri agama mereka apabila berusia 18 tahun.
Ini dalam kes jika seorang daripada ibu atau bapa memeluk Islam.
"Suhakam mengalu-alukan cadangan pindaan itu yang hendaklah digunakan secara retrospektif dan kedua-dua pihak dalam perkahwinan sivil mesti memberi kebenaran untuk anak mereka memeluk agama Islam.
"Suhakam menyokong cadangan kanak-kanak itu mengekalkan agama masing-masing supaya mereka bebas memilih agama sendiri menurut kepercayaan masing-masing apabila mereka mencapai usia dewasa (18 tahun)," kata pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail dalam satu kenyataan.
Katanya, pindaan itu menjamin kepentingan terbaik bagi kanak-kanak dan hak perlembagaan ibu bapa berhubung kebebasan beragama.
Pindaan yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Parlimen bulan lalu adalah untuk mengatasi masalah penukaran unilateral kanak-kanak kepada Islam oleh ibu atau bapa yang telah memeluk Islam.
Pindaan ini juga menyatakan bahawa pasangan yang mendaftarkan perkahwinan mereka di bawah undang-undang sivil boleh mendapatkan perceraian di mahkamah sivil, walaupun seorang daripada mereka telah memeluk Islam.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.