Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan merobohkan rumah penduduk Kampung Sungai Udang di Segambut Khamis ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Udang, Mohamad Yaacob.

Beliau berkata, beliau menerima notis mengenai operasi merobohkan rumah itu dari DBKL Jumaat lalu iaitu sehari selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan penduduk mengenepikan perintah DBKL supaya merobohkan rumah mereka.

Katanya, surat tersebut ditandatangani oleh Timbalan Pengarah Penguatkuasa Jabatan Direktorat Penguatkuasa DBKL. Mohd Saufi Mohamad dan diserahkan kepada beliau oleh seorang kakitangan DBKL di rumahnya pada jam 5.30 petang, Jumaat lalu.

Menurutnya, dalam surat itu, 28 keluarga Kampung Sungai Udang diarahkan berpindah dan mengosongkan rumah selewat-lewatnya 1 Jun ini untuk memberi laluan kepada projek takungan banjir Sungai Keroh di Segambut.

"DBKL tidak akan melayan sebarang rayuan daripada penduduk untuk terus tinggal di kampung itu dan mereka ditawarkan untuk menyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jinjang," katanya lagi.

Memo kepada PM

Berikutan itu, kata Mohamad, beliau dan beberapa ahli jawatankuasa penduduk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya pada hari Sabtu lalu. Memorandum tersebut diterima oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Ahmad Yaakob.

Beliau berkata, Ahmad berjanji akan memanggil satu mesyuarat membabitkan DBKL, penduduk dan pemaju Taman Cuepacs iaitu Megah Kepong Sdn Bhd bagi membincangkan masalah penduduk untuk mendapat rumah kos rendah di Taman Cuepacs.

Ahmad juga memberi jaminan bahawa beliau akan menghubungi DBKL bagi meminta pihak berkuasa kerajaan tempatan menangguhkan sementara operasi merobohkan rumah yang dijadualkan pada hari Khamis ini.

Dalam pertemuan tersebut, Mohamad meminta Ahmad membuat rayuan kepada DBKL supaya menangguhkan operasi merobohkan rumah penduduk Kampung Sungai Udang sehingga satu penyelesaian mengenai permohonan penduduk untuk membeli rumah Taman Cuepacs selesai.

Sementara itu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) meminta DBKL menghentikan operasi merobohkan rumah penduduk Kampung Sungai Udang.

Setiausaha Agung PSM. S Arutchelvan berkata penduduk telah memfailkan kes mereka di Mahkamah Rayuan dan sebarang tindakan merobohkan rumah mreka sebelum mahkamah rayuan mendengar kes ini ia berunsur berniat jahat.

"Menggunakan kekerasan dan meroboh rumah tanpa rundingan serta tidak disediakan tempat alternatif yang dipersetujui bersama adalah satu pencabulan hak asasi manusia dan bercanggah dengan Dokumen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai pengusiran paksa yang ditandatangani oleh Malaysia pada tahun 1993," katanya dalam sepucuk surat yang dihantar kepada perdana menteri hari ini.

Lapuran BPR

Beliau berkata penduduk juga telah memfail kes di Biro Pencegah Rasuah (BPR) kerana terdapat unsur-unsur rasuah yang serius dan sebelum aduan rasuah ini disiasat, adalah tidak wajar penduduk ini dipindah secara paksa.

Menurut Arutchelvan, perdana menteri perlu campur tangan bagi menghalang operasi merobohkan rumah penduduk Kampung Sungai Udang yang telah mereka diami sejak 30 tahun lalu.

Beliau berkata, jika DBKL terus menjalankan perobohan ini, ia hanya akan mengambarkan bahawa kerajaan Barisan Nasional adalah sebuah pemerintahan yang zalim yang bertindak ke atas rakyat miskin tanpa alasan yang munasabah.

Katanya, penduduk setuju untuk berpindah dan mahu membeli rumah kos rendah di Taman Cuepacs yang dimajukan oleh Megah Kepong Sdn Bhd kerana ia terletak berhampiran rumah mereka.

Sebelum ini, Mohamad dan penduduk telah menghantar memorandum yang serupa kepada Setiausaha Politik Menteri Kewangan 1, Reezal Merican Naina Merican untuk meminta beliau membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Penduduk juga telah mengadakan perbincangan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hashim dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Isa Samad tetapi tidak berjaya.

Khamis lalu, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Rauf Shariff menolak dengan kos permohonan penduduk untuk mengenepikan notis DBKL supaya berpindah dari Kampung Sungai Udang.