Berita Malaysiakini

Marina Mahathir hina institusi beraja, kata portal pro-Umno

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Portal pro-Umno menyifatkan anak Tun Dr Mahathir Mohamad, Marina telah melakukan penghinaan terhadap institusi raja-raja di negara ini ketika memuat naik surat pembatalan jemputan majlis pertabalan Yang Dipertuan Agong ke-15.

Semalam, Marina telah memuat naik surat mengenai pembatalan jemputan majlis berkenaan ke atas bapa dan ibunya di media sosial dengan meletakkan ulasan dan hashtag 'howlowcanugo'.

"Marina Tun Mahathir hari ini secara tersirat menyifatkan Istana Negara sebagai “low class” apabila membatalkan jemputan ke atas bapanya, Tun Mahathir Mohamad ke Majlis Pertabalan Yang Di Pertuan Agong yang baharu.

"Tindakan membuat komen sedemikian ke atas surat Istana adalah satu penghinaan kepada Institusi Raja," kata mykmu.net.

Semalam, Malaysiakini merupakan antara portal berita terawal melaporkan undangan untuk Mahathir hadir ke majlis istiadat menandatangani surat sumpah Yang diPertuan Agong dan timbalan baginda pada 13 Disember ini telah dibatalkan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dikatakan memaklumkan perkara itu kepada Mahathir melalui surat bertarikh 5 Disember yang lalu.

Ia juga dikatakan bagi “mengelak kesipuan (embarrassment)” kerana tiada kerusi untuk Mahathir disediakan pada istiadat itu.

Surat berkenaan dikatakan dialamatkan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana - yang diasaskan Mahathir - di Putrajaya.

Mengulas mengenai surat itu, Marina menulis di Twitternya: “Siapa sebenarnya akan tersipu-sipu nanti?”. Turut mengiringi tweet berkenaan ialah salinan gambar surat itu.

Mengulas lanjut, kata portal yang dilihat mesra Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, seorang penulis, Ab Jalil Backer dalam akaun Facebooknya menganggap ia hak Yang DiPertuan Agong yang tidak perlu dipertikaikan.

“Marina Mahathir mungkin tidak faham bahawa Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bertindak atas titah Istana bukan atas arahan kerajaan Persekutuan. (Tidak pastilah jika zaman bapa dia, Istana ikut cakap PM macam robot).

"Apa hak Marina hendak menghina Istana? Apakah kerana bapa beliau tidak dijemput maka status Istana jadi “low class”?," kata penulis itu lagi.