Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis: Penduduk Taman Idaman dibenar pulang esok
Diterbitkan:  Dec 8, 2016 7:07 PM
Dikemaskini: 11:27 AM

Penduduk Taman Idaman, Serendah yang terjejas akibat tanah runtuh baru-baru ini, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing mulai jam 5 petang esok.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt R Supramaniam berkata arahan itu dikeluarkan selepas mendapat pengesahan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

"Selepas bermesyuarat dengan pusat kawalan operasi bencana bersama pegawai daerah Hulu Selangor, JKR dan JMG telah bersetuju dan mendapati kawasan runtuhan di taman berkenaan disahkan selamat.

"Oleh itu, penduduk taman itu boleh kembali ke rumah masing-masing mulai 5 petang esok," katanya kepada Bernama.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati kerja-kerja pemasangan cerucuk besi untuk mengukuhkan tebing tanah masih diteruskan di kawasan berhampiran tempat kejadian.

Selain itu, sumber air di kawasan taman perumahan itu telah kembali pulih.

Sebelum ini, polis mengisytiharkan kawasan tanah runtuh itu sebagai kawasan larangan Zon Merah dan mengarahkan 340 penduduk berpindah ke Sekolah Rendah Agama Serendah.

Dalam kejadian 26 November itu, seorang penduduk dilaporkan cedera manakala sebuah gerai makan dan 10 kenderaan rosak.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS