Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perlis pinda enakmen islamkan kanak-kanak
Diterbitkan:  Dec 8, 2016 7:35 PM
Dikemaskini: 11:41 AM

Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini meluluskan pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, yang membenarkan hanya seorang daripada ibu bapa mengislamkan anak mereka.

Pindaan dibuat terhadap terhadap versi bahasa Melayu enakmen itu, yang sebelum ini menyebut kanak-kanak bawah 18 tahun boleh memeluk Islam dengan kebenaran “ibu bapa” atau penjaga.

Perkataan “ibu bapa” dalam Seksyen 117(b) ditukar kepada “ibu atau bapa”, menurut laporan Sin Chew Daily.

Satu-satunya anggota MCA dalam dewan Khaw Hock Kong (Titi Tinggi) tidak mengundi manakala wakil PKR Chan Ming Khai (Indera Kayangan) mengundi menentangnya.

Kesemua 12 wakil Umno dan seorang wakil PAS mengundi menyokongnya.

Menteri Besar Perlis Datuk Azlan Man berkata pindaan itu dibuat bagi menyamakannya dengan versi bahasa Inggeris yang menggunakan perkataan “parent”, dalam bentuk mufrad.

Azlan memetik kes Subashini lawan Saravanan pada 2007 yang memutuskan bahawa Perkara 12(4) dalam Perlembagaan Persekutuan membenarkan kanak-kanak ditukar agama dengan kebenaran seorang ibu atau bapa.

Pindaan hari ini dilihat bertentangan dengan usaha kerajaan persekutuan untuk menamatkan pengislaman anak secara sebelah pihak.

Rang undang-undang berkaitan dijangka dibahaskan dan melalui proses pengundian di sesi parlimen akan datang.

Lihat Komen
ADS