Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Syarikat yang dianugerahkan projek pembinaan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), China Communications Construction Company Ltd (CCCC) tidak pernah disenarai hitam oleh Bank Dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata penyenaraian hitam yang sering digembar-gembur pihak tertentu itu bukan secara langsung terhadap CCCC, sebaliknya melibatkan syarikat subsidiari di bawahnya.

"Syarikat subsidiari itu ialah China Road and Corporation (CRBC) yang kemudiannya telah bergabung dengan China Harbour Engineering Co Ltd (CHEC)," katanya pada persidangan Dewan Negara semalam.

Abdul Rahman berkata CRBC disenarai hitam pada 12 Januari 2009, namun sudah menghampiri tempoh tamat iaitu lapan tahun, dan akan keluar daripada senarai hitam pada Januari tahun depan.

Beliau menjawab soalan Senator Dr Mohd Nor Monutty mengenai status CCCC.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata CCCC merupakan syarikat terbesar milik negara China dan beroperasi di seluruh dunia termasuk Eropah, Asia dan Afrika.

"Walaupun ada kebimbangan mengenai imej syarikat itu, namun tiada arahan daripada Bank Dunia yang mengeluarkan bantahan ke atas mana-mana negara supaya tidak boleh berkolaborasi atau berurusan dengan CCCC.

"Berdasarkan keyakinan itu, kerajaan yakin syarikat ini mampu menyiapkan projek ECRL dalam tempoh bersesuaian dengan skala projek tersebut," katanya sambil menambah CCCC mempunyai rekod yang baik dalam projek pembinaan besar termasuk di Malaysia.

Projek ECRL sepanjang kira-kira 600 kilometer itu akan menghubungkan Lembah Klang dengan Kuantan, Pahang sehingga ke Terengganu serta Tumpat, Kelantan.

Pembinaan projek itu dijangka bermula pada awal 2017.

- Bernama

Lihat Komen
ADS