Ketua Umno Bandar Tun Razak Datuk Amil Salleh didakwa menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi mesyuarat Umno bahagian itu supaya memilih orang-orangnya dalam mesyuarat yang diadakan pada 15 Mei lalu.

Setiausaha Agung Umno bahagian itu, Zaharin Mohd Yassin berkata, Amil secara terbuka meminta perwakilan supaya memberi undi kepada orang-orangnya dan menolak calon lain.

"Akibatnya ramai orang yang rapat dengan Amil mendapat tempat dalam Umno Bandar Tun Razak. Perkara ini berlaku kerana campur tangan Amil," katanya sambil menambah mesyuarat Umno Bandar Tun Razak telah dirasmikan oleh Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Beliau berkata, Amil masih menjalankan tugas ketua bahagian sedangkan beliau digantung selama tiga bulan oleh Lembaga Disiplin Umno kerana terlibat dengan politik wang dalam mesyuarat bahagian tersebut pada tahun lalu.

"Saya sudah melaporkan perkara tersebut kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Radzi Sheikh Ahmad supaya mengambil tindakan ke atas Amil," katanya ketika dihubungi oleh malaysiakini hari ini.

Menurut Zaharin lagi, Amil masih menggunakan pejabat Umno Bandar Tun Razak dan menggunakan jawatannya sebagai ketua bahagian sedangkan beliau tidak boleh berbuat demikian kerana menjalani penggantungan selama tiga tahun.

Rahim Baba yang paling layak

Katanya, orang yang paling layak menjalankan tugas ketua bahagian Umno Bandar Tun Razak ialah Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Rahim Baba dan bukan orang lain.

Beliau juga berkata, bahawa Amil tidak boleh mengeluarkan arahan kepada parti dan beliau sendiri tidak akan mematuhi arahan tersebut.

"Saya hanya kini mematuhi arahan Rahim yang menjalankan tugas sebagai ketua bahagian. Saya tidak terikat dengan arahan Amil lagi," katanya.

Sementara itu, Zaharin menjelaskan beliau masih kekal sebagai Setiausaha Umno Bandar Tun Razak dan tidak pernah menghantar surat perletakan jawatan.

"Rahim belum meminta saya melepaskan jawatan tersebut dan ini bermakna saya masih kekal sebagai setiausaha Umno bahagian tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sepucuk surat dari Umno bahagian itu yang mendakwa Ketua Umno Cawangan Mulia Jaya, Shaari Kidam sebagai setiausaha ketika mengadakan satu majlis penghargaan kepada ahli di Bukit Jalil, 11 Mei lalu.

Sementara itu, Shaari ketika dihubungi berkata, beliau hanya dilantik menjadi setiausaha majlis tersebut dan bukannya Setiausaha Umno Bandar Tun Razak.

"Itu perlantikan secara sementara dan apabila majlis itu tamat maka selesailah tugas saya," katanya sambil menambah majlis tersebut telah diadakan di Bukit Jalil Golf and Country Resorts.

Zaharin berkata, Amil telah melantik Ketua Umno Cawangan Mulia Jaya Shaari Kidam sebagai Setiausaha Umno Bahagian Tun Razak yang baru.

Bagaimanapun, Amil tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.