Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Parti Amanah Negara (AMANAH) akan menawarkan kerusi kepada Orang Asli di Kelantan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Presidennya Mohamad Sabu berkata ada di kalangan Orang Asli yang berpotensi menjadi pemimpin bagi menentang Barisan Nasional.

"AMANAH menyokong untuk Orang Asal menjadi calon pilihan raya.

“Di Kelantan ramai orang asal (dan) ada yang berpotensi yang kita tidak ketengahkan selama ini,” katanya.

Mohamad berkata demikian dalam ucapan perasmiannya konvensyen AMANAH di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Sementara itu Mohamad turut mengumumkan bahawa parti itu bersetuju sekiranya pembangkang bertanding bawah satu logo menentang BN dalam PRU14.

"Parti AMANAH bersama Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah komited untuk menubuhkan sebuah kesatuan pembangkang bagi menghadapi Umno BN pada PRU14 dengan penetapan satu logo, satu manifesto dan satu gerak kerja,"katanya.

Sebelum ini Penasihat BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Harapan harus bertanding di bawah satu logo dan satu manifesto seperti Barisan Nasional untuk menang pilihan raya akan datang.

Katanya, kunci kejayaan parti pembangkang dalam pilihan raya akan datang adalah penyatuan semua parti.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata bagi memastikan Umno tumbang, seluruh parti pembangkang perlu membentuk kerjasama politik yang tersusun serta mempunyai hala tuju yang jelas.

"Sesebuah kerjasama politik yang ingin menjadi pesaing kepada Umno, BN perlu mempunyai struktur dan dasar yang jelas, serta diikat dengan perjanjian dan persefahaman yang utuh.

"Hanya kerjasama politik seperti ini sahajalah yang memberi jawapan kepada dilema politik di negara kita,"katanya.

Lihat Komen
ADS