Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan PAS masih lagi keliru untuk memuktamadkan pendirian bersama-sama dengan gabungan pembangkang.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata pendirian PAS yang tidak tetap itu dapat dilihat apabila bersama-sama dengan Umno dalam menjayakan himpunan solidariti Rohingya di Tasik Titiwangsa minggu lalu.

Kata Dr Mahathir dalam masa yang sama PAS masih berada dalam kerajaan Selangor.

"Seperti yang saya katakan tadi, mereka keliru. Pada satu segi kata mereka ini pembangkang, tapi segi lain bercium satu sama lain, berdemo bersama, kejap (berada) dalam kerajaan.

"Mereka kata tak mahu DAP dan AMANAH tapi bekerja dengan DAP dan AMANAH (dalam kerajaan negeri Selangor)Ini keliru.

"Kita kena tunggu sampai mereka tidak keliru," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian di sidang media bersama pimpinan Pakatan Harapan di Konvensyen Nasional AMANAH di Shah Alam hari ini.

Semalam PAS membayangkan menolak hubungan dengan BERSATU jika serpihan Umno itu menyertai gabungan pembangkang Pakatan Harapan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata mereka telah menjelaskan bahawa BERSATU boleh bersama dengan syarat tiada hubungan langsung AMANAH dan DAP.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, parti itu buat masa ini sedang giat memperkasakan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berbanding kerjasama berkenaan.

Minggu lalu, Dr Mahathir berkata BERSATU dan parti pembangkang yang lain akan meninggalkan PAS dan tidak akan menunggu lebih lama dalam mengatur gerak kerja bagi menghadapi Umno dan BN dalam PRU14.

Jelasnya keputusan itu terpaksa dilakukan kerana keengganan PAS dalam memberi kata putus dan usaha kearah itu perlu dijalankan dalam usaha menumbangkan Umno-BN.

Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata mana-mana pihak yang cuba mewujudkan tiga penjuru adalah penyokong BN.

"Sesiapa yang berusaha supaya wujud pertandingan tiga penjuru dalam PRU14, mereka sebenarnya sokong BN," katanya.

Lihat Komen
ADS