'Pinda ordinan Sarawak untuk henti tukar agama kanak-kanak'
Ketua PKR Sarawak Baru Bian menggesa kerajaan negeri meminda Ordinan Majlis Islam Sarawak untuk menghentikan pertukaran agama kanak-kanak bawah umur.
Beliau berkata Seksyen 69 Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 yang membolehkan agama seseorang kanak-kanak ditukar dengan kebenaran ibu bapa perlu selaras dengan pindaan Akta Membaharui Undang- Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.
Antara lain, pindaan kepada Akta 1976 akan memerlukan persetujuan kedua-dua ibu bapa untuk pertukaran agama seorang kanak-kanak kepada agama Islam.
"Saya menyokong penuh saranan Persatuan Gereja-gereja supaya kerajaan Sarawak meminda Ordinan Majlis Islam Sarawak agar sejajar dengan pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian), dan selaras dengan jaminan perlembagaan yang memberi hak setiap rakyat Malaysia," kata Baru dalam satu kenyataan.
Persatuan Gereja-gereja di Sarawak (ACS) hari ini menggesa kerajaan negeri meminda undang-undang itu agar selaras dengan pindaan undang-undang persekutuan, mengikut Perkara 75 yang menyatakan undang-undang persekutuan mengatasi undang-undang negeri.
ADUN Ba'Kelalan itu berkata kebenaran pertukaran agama di bawah umur melanggar hak ibubapa untuk mendapat kesaksamaan, di bawah perlembagaan.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.