BERSIH 5: PKR, sasterawan pilih untuk jawab di mahkamah
Para pemimpin PKR hari ini memilih untuk menjawab di mahkamah mengenai penglibatan dalam BERSIH 5.
Dua Naib Presidennya, Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar bersama Ketua WHIP parti itu, Datuk Johari Abdul dan Sasterawan Negara A Samad Said dipanggil oleh pihak polis untuk memberikan keterangan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan himpunan aman bulan lalu.
Johari berkata, pihaknya diajukan beberapa soalan berkaitan BERSIH 5 namun keempat-empat mereka memilih untuk menjawabnya di mahkamah.
“Kami dipanggil kononnya atas isu terlibat dalam perarakan dan kegiatan BERSIH 5. Jadi, soalan banyak ditanya tapi kesimpulannya kami berempat memilih untuk menjawab di mahkamah dan oleh demikian, kita jumpa mereka di mahkamah.
“Tidak ada apa-apa yang kami jelaskan pada mereka walaupun soalan banyak tapi kami pilih untuk jawab di mahkamah,” katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat polis Sentul.
Johari ketika ditanya mengenai pendakwaan berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pihak polis.
“Terpulang pada polis, mereka mungkin akan melihat kenyataan yang kita akan buat (di mahkamah) dan hantar pada Ketua Peguam Negara dan Ketua Peguam Negara akan pertimbangkan kalau ada kes mungkin akan didakwa,” katanya.
Sementara itu, Rafizi pula berkata, Peguam Negara (AG),Tan Sri Mohamed Apandi Ali harus memikirkan kembali memandangkan rakyat tidak sependapat dengan kerajaan sebaliknya bersama BERSIH.
“Saya rasa perkara ini AG kena fikir kerana pendapat masyarakat tidak memihak kepada mereka. Kalau sesiapa yang menyertai BERSIH akan didakwa di mahkamah,” katanya.
November lalu, ribuan rakyat turun ke jalan raya antara lain bagi memperjuangkan pilihan raya adil dan bersih.
Mereka berhimpun di pusat tumpuan kota bagi menunjukkan bantahan terhadap kerajaan.

