Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kira-kira 250 jemaah umrah dikatakan terkandas
Diterbitkan:  Dec 13, 2016 5:57 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Kira-kira 250 jemaah umrah dikatakan terkandas di dua hotel berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selepas penerbangan mereka didakwa dijadual semula sebanyak lima kali.

Salah seorang jemaah, yang hanya mahu dikenali sebagai Kamarul Zaman, memberitahu Malaysiakini bahawa mereka pada asalnya dijadual berlepas dari Malaysia minggu lepas pada 5 Disember.

"Tetapi lepas tu ia jadual ke Rabu, kemudian ke Sabtu," kata Kamarul Zaman.

Katanya, jemaah dalam kumpulannya yang sesetengahnya dari negeri-negeri lain, bertolak ke lapangan terbang itu pada Sabtu tetapi diberitahu penerbangan mereka dijadualkan semula sekali lagi hari Isnin, dan kemudian hari ini.

Kamarul berkata mereka kini diberitahu bahawa penerbangan itu akan dijadualkan semula lagi.

Beliau juga berkata Al Fajr Travel and Tours, agensi pelancongan yang diupah, kini meletakkan mereka di hotel yang berdekatan dengan lapangan terbang.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Al Fajr Osman Ahmad berkata keadaan yang berlaku disebabkan oleh salah faham.

"Oleh kerana Eaglexpress menghadapi masalah dari segi mendapat kebenaran untuk mendarat dan lain-lain, jadi banyak penerbangan terpaksa dijadual semula.

"Untuk kumpulan ni kita beri notis yang penerbangan dijangka pada 12 haribulan, tapi tak pasti tapi mereka datang juga. Jadi bila mereka datang, kita kata tak apalah kita tempatkan mereka di hotel," katanya.

Osman berkata, jemaah tersebut tidak terkandas dan pihaknya sebaliknya telah memberikan nasihat kepada mereka.

"Tapi mungkin ada jemaah yang tak sabar, semangat mereka untuk membuat ibadat berkobar-kobar.

"Kita hanya merancang Allah yang menentukan, kita tak salahkan Eaglexpress, kita tak salahkan jemaah," katanya.

Ketika dihubungi seorang jurucakap Eaglexpress Air memberitahu Malaysiakini bahawa penerbangan pada 12 Disember terpaksa dijadualkan semula kerana mereka masih belum menerima permit pendaratan dari Arab Saudi.

"Kami masih tidak dimaklum mendapat permit pendaratan, tapi kami berharap untuk mendapatkannya malam ini," kata jurucakap syarikat penerbangan itu.

Lihat Komen
ADS