Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) hari ini bagi memulakan lawatan
sulungnya ke Malaysia.

Ketibaan presiden itu disambut oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot ketika ketibaannya pada 2 petang dan diberi sambutan permaidani merah dan memeriksa kawalan kehormat Batalion Pertama Regimen Ranger Diraja.

Lawatan tiga hari ini merupakan lawatan sulung presiden berkenaan ke Malaysia sejak memegang jawatan itu pada Januari tahun lepas.

Sambutan rasmi akan diadakan di Dataran Perdana, Putrajaya esok.

Wisma Putra dalam kenyataannya berkata presiden Sri Lanka dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan mesyuarat dua hala yang akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk melihat hubungan sedia ada dan kerjasama bagi mengenal pasti potensi untuk kerjasama masa hadapan.

Lima memorandum persefahaman (MoU) akan dimeterai antara kedua-dua negara menyentuh hal berkaitan pelancongan, pembangunan belia, kebudayaan, seni dan warisan, pekerja asing dan juga kerjasama saintifik dan teknikal, katanya.

Wisma Putra berkata Malaysia dan Sri Lanka menikmati hubungan baik yang meliputi bidang perniagaan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan dan kebudayaan, sumber manusia, pembinaan keupayaan, belia dan sukan yang membawa manfaat bersama kepada kedua-dua negara.

Menurut kenyataan itu, lawatan itu akan memberi dorongan baharu kepada kerjasama dua hala yang akan mengukuhkan dan meningkatkan hubungan antara Malaysia dan Sri Lanka ke tahap yang lebih tinggi.

- Bernama