Apa perkara terawal yang akan anda lakukan sejurus selepas berkahwin dengan pasangan idaman hati?

Pasangan Mohd Saufi Hamzah dan Rohana Shaib ada cara tersendiri – naik kereta api Transit Aliran Massa (MRT).

MRT Corporation Sdn Bhd dan Prasarana Negara Bhd sendiri dalam kenyataannya menganggap hari ini sebagai penuh bermakna dengan kesudian pasangan itu menaiki tren MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang.

Mohd Saufi, 46, dan Rohana, 40, dengan rombongan 15 orang naik di Stesen Sungai Buloh selepas waktu solat Jumaat ke Stesen Surian sebelum kembali ke stesen permulaan.

“Saya berasa sangat teruja menaiki perkhidmatan MRT pada hari pertama selepas ia dilancarkan semalam, terutama apabila menaiki MRT bersama yang tercinta,” kata Mohd Saufi, yang juga penolong pengarang berita BH Online.

Rohana pula berkata ini merupakan hadiah perkahwinan yang tidak akan dilupakan.

“Apatah lagi dengan menaiki MRT sehari setelah ia dilancarkan.

“Saya amat berbesar hati pada hari ini kerana diberi peluang untuk berkongsi detik istimewa ini bersama dengan penumpang lain,” kata pegawai tadbir di sebuah syarikat swasta.

Akad nikah berlangsung di Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Shah Alam pagi ini.

Kehadiran pasangan mempelai yang tampil dengan pakaian biru sedondon itu nyata menarik perhatian penumpang lain perkhidmatan itu.

MRT fasa pertama bagi laluan Sungai Buloh-Semantan memulakan operasinya secara rasmi hari ini.