Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN Pendapat Prof Dr Mohamad Agus Yusof bahawa ahli politik punca ketegangan kaum bukan merupakan perkara baru.

Jika dikaji, peristiwa 13 Mei 1969 berpunca daripada ketegangan kaum yang dicetuskan oleh ahli atau parti-parti politik.

Sesama parti sendiri pun tidak ada perpaduan, apatah lagi antara parti. Masing-masing mahu menang maka mesti memburukkan lawan.

Malah di kalangan tokoh-tokoh akademik dan para ilmuwan pun bertelagah dan tidak sependapat kerana ego masing-masing mahu tunjuk hebat.

Begitu juga di kalangan tokoh-tokoh agama pelbagai peringkat, baik mufti, pendakwah dan guru agama juga sentiasa tidak sependapat, malah dalam dalam perkara kecil sekali pun.

Sebab itu saya tidak hairan kenapa perpecahan sukar dibendung.

Seelok-eloknya di menara gading, kita ingin melihat apa para tokoh akademik boleh mainkan peranan bagi menyatukan pelajar sebagai pemangkin perpaduan rakyat.

Cakap mudah. Retorik lagi mudah dan teori lagi senang. Nasihat orang mudah tetapi selalu kita tengok, yang bercakap beri nasihat itu juga adakala menjadi sumber perpecahan.

Maka PERKASA dan saya berpendapat, yang penting dan paling asas, sama-samalah kita memberi kesedaran untuk memelihara idea negara Malaysia.

Seluruh rakyat, termasuk semua lapisan pemimpin, baik parti politik, cendekiawan, ilmuwan, tokoh-tokoh agama, pengamal perundangan, pegawai kerajaan, NGO, tidak ada yang terkecuali, harus mendaulatkan serta benar-benar memperkasa demokrasi berparlimen secara telus, adil dan saksama.

Ini termasuk mendaulatkan raja berperlembagaan secara berkesan dalam erti kata yang sebenar- benar sebagai ideologi nasional dan menjadikan kemajmukan rakyat jelata sebagai jati diri kebangsaan.

Asas fizikal negara mesti benar-benar terjamin kedaulatannya.

Institusi negara, iaitu kerajaan dan pemimpin tanpa mengira siapa yang memerintah atau menang, tidak harus menyeleweng mandat rakyat.

Tahap integriti pentadbiran yang tinggi dan institusi undang-undang harus tegas menjunjung keadilan.

Dalam bahasa yang mudah, nilai teras utama negara ialah kesetiaan pada raja, keluhuran perlembagaan dan undang-undang, kestabilan politik nasional dan keharmonian beragama.

Ini seperti mana semua perkara mesti berfungsi mengikut asas perlembagaan dan undang-undang negara.

Perjanjian kontrak sosial antara kaum utama bersama raja-raja Melayu sebelum merdeka adalah paksi kepada perpaduan rakyat.

Ketegasan kepimpinan dituntut dan pemimpin semua peringkat tanpa mengira parti tidak harus bersifat munafik. Ini akan membantu rakyat bersatu demi perpaduan nasional.


DATUK IBRAHIM ALI presiden PERKASA.

Lihat Komen
ADS