Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara tidak langsung mengesahkan kos keseluruhan Projek Transit Aliran Massa (MRT) boleh mencecah RM100 bilion.

"Sejak semalam, kumpulan propaganda maya Umno telah melancarkan kempen media sosial besar-besaran untuk menunjukkan bahawa kos sebenar projek MRT hanyalah RM21 bilion dan bukannya RM100 bilion seperti yang saya pernah sebut.

"Apa yang mereka tidak sedar ialah pengumuman Datuk Seri Najib bahawa kos menyiapkan Fasa 1 MRT bagi jajaran pertama dari Sungai Buloh ke Kajang (iaitu untuk 12 stesen sepanjang 21 km sahaja) adalah RM21 bilion.

"Sebenarnya ini mengesahkan kerisauan saya dalam tahun 2012 bahawa kos keseluruhan projek MRT boleh mencecah RM100 bilion," kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi berkata Najib sewaktu melancarkan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) pada tahun 2010 dan ketika mengumumkan projek MRT berkata keseluruhan projek itu meliputi jarak 141 kilometer.

Kos RM21 bilion yang disebut Najib adalah hanya untuk 21 kilometer daripada 141 kilometer landasan MRT yang dirancang, katanya.

Menggunakan pengiraan mudah, beliau berkata, jika kos bagi setiap kilometer laluan MRT adalah lebih kurang sama bagi fasa pertama, ia akan menjadi RM1 bilion bagi setiap kilometer.

Oleh itu, 120 kilometer baki laluan MRT melibatkan kos kira-kira RM120 bilion, kata Rafizi.

"Jelas bahawa kumpulan propaganda maya Umno yang terdiri dari Papagomo, Raja Petra dan Lim Sian See ini tidak faham perincian projek MRT yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib semasa melancarkan ETP dalam tahun 2010," kata Rafizi.

Katanya, beliau akan menunjukkan dalam beberapa kenyataan media seterusnya bahawa kos keseluruhan projek MRT meliputi 141 kilometer dan boleh mencecah kos RM100 bilion.

Najib pada Khamis dilaporkan berkata projek MRT adalah bernilai RM21 bilion berbanding kos yang disasarkan sebanyak RM23 bilion pada peringkat awal.

Beliau mengumumkan projek MRT pada tahun 2011 dan menyatakan dalam ucapan Bajet pada tahun itu bahawa jumlah kos untuk projek tersebut adalah sekitar RM40 bilion.

Fasa pertama MRT, di antara Sungai Buloh dan Semantan dilancarkan pada Khamis lalu.

Fasa kedua yang meliputi jarak 30 kilometer melibatkan 19 stesen antara Semantan dan Kajang, dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada 31 Julai 2017.

MRT Corp sangkal Rafizi

Sementara itu, MRT Corp dalam satu kenyataan berkata dakwaan Rafizi bahawa Fasa 1 laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) menelan belanja RM21 bilion adalah "sama sekali tidak betul".

"RM21 bilion itu yang telah disebut dalam ucapan perdana menteri adalah kos bagi Fasa 1 dan Fasa 2 laluan SBK sepanjang 51 kilometer.

"Fasa 1 terdiri daripada 'elevated section' laluan SBK sepanjang 21km dari Sungai Buloh ke portal Semantan.

"Fasa Dua termasuk laluan bawah tanah sejauh 9.5km dari Portal Semantan ke Portal Maluri, dan 'elevated section' di laluan selatan sejauh 20.5km dari portal Maluri untuk Kajang," katanya.