Kes terbaru Zika dikesan di Petaling Jaya
Seorang lelaki warga emas menjadi mangsa kelapan dijangkiti virus Zika di negara ini.
Dalam kenyataannya Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata individu terbabit berusia 67 tahun dari Petaling Jaya, Selangor.
Katanya, lelaki terbabit mendapatkan rawatan perubatan kerana menghadapi masalah demam, loya dan cirit-birit di Klinik Kesihatan Tangling, Kuala Lumpur pada 30 November.
Lelaki itu mula mengalami gelaja berkenaan dua hari sebelumnya.
Kata Dr Noor Hisham, ujian saringan darah tidak menunjukkan kelainan yang ketara, justeru pesakit diberi rawatan simptomatik dan dinasihat datang semula jika gejala semakin melarat.
"Keesokan harinya (1 Disember 2016), pesakit kembali dengan gejala bisa badan dan sendi. Denggi telah disyaki namun ujian denggi yang dilakukan adalah negatif.
"Kes itu dilaporkan ke Pejabat Kesihatan Petaling sebagai disyaki denggi dan pesakit diminta kembali setiap hari bagi memantau ujian darah," katanya (gambar).
Walaupun pesakit menunjukkan gejala denggi, kata Dr Noor Hisham, ujian untuk itu adalah negatif.
Katanya, contoh darah diambil dan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di Sungai Buloh untuk ujian flavivirus lain selaras dengan protokol sedia ada.
Ujian flavivirus itu adalah untuk mengesan kemungkinan lelaki terbabit menghadapi demam kuning, chikungunya atau Zika.
Keluarga disiasat, sampel diambil
Pada 9 Disember, katanya, MKAK memaklumkan mereka mendapati darah itu positif untuk Zika dan sampel dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi pengesahan.
Turut dihantar, menurut Dr Noor Hisham, ialah contoh tambahan air kencing.
"Pada 14 Disember, IMR mengesahkan sampel air kencing juga positif untuk Zika," katanya.
Walaupun punca utama Zika disebabkan oleh virus yang dipindahkan melalui nyamuk aedes, hubungan seks turut boleh menyumbang kepada penyebarannya.
Kes pertama Zika di negara ini dilaporkan pada 21 Ogos lalu, membabitkan seorang wanita berusia 58 tahun yang disahkan selepas seminggu pulang dari Singapura.
Jangkitan pertama Zika di negara ini pula dilaporkan di Sabah pada September lalu dan mangsa meninggal dunia akibat komplikasi masalah jantung.
Antara petanda seseorang mendapat jangkitan Zika ialah demam, gatal kulit dan sakit otot serta sendi. Ia biasanya berlanjutan antara dua hingga tujuh hari.
Dr Noor Hisham berkata siasatan kementerian mendapati mangsa terbaru Zika itu pernah berada di sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam dan Perak.
"Ahli keluarga terdekat pesakit telah disiasat dan sampel darah serta air kencing mereka diambil untuk ujian saringan Zika.
"Aktiviti kawalan juga dilaksanakan pada 11 Disember 2016 yang melibatkan pemusnahan tempat pembiakan, larvasiding, pendidikan kesihatan dan semburan kabus di lokaliti kediaman dan tempat-tempat lain yang pernah dilawati pesakit.
"Selain itu, Active Case Detection sedang dijalankan di kawasan kediaman kes untuk mengenal pasti sekiranya ada penduduk setempat yang mengalami gejala Zika," katanya.
Orang ramai dinasihati memastikan kawasan di dalam dan luar rumah sentiasa bersih dan bebas daripada tempat pembiakan nyamuk aedes.
Selain itu, langkah perlindungan daripada gigitan nyamuk perlu diamalkan serta menutup anggota badan.

