Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Kos RM44 bilion ECRL tak termasuk nilai tanah

Tidak timbul soal kerajaan tidak telus dalam peruntukan perbelanjaan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) apabila terdapat perbezaan jumlah kos sebanyak RM9 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata ini kerana jumlah kos RM44 bilion yang dinyatakan kerajaan China tidak termasuk kos tanah yang diambil bagi pembinaaan projek itu.

"RM55 bilion yang ditandatangani, China pula beritahu RM44 bilion untuk menyediakan ECRL.

"Dalam keadaan ini ramai persoalkan mana pula perginya RM9 bilion lagi seperti yang diumumkan.

"Memang ikatan (perjanjian) dengan China diumum RM44 bilion sebab nak siapkan kereta api dengan jalan, soal pengambilan tanah yang hendak dibuat, China tak bayar. Sebab itu duit yang diumumkan kerajaan harganya berbeza dan juga dengan China berbeza," katanya.

Jamil berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Alumni Kelab-kelab Umno Luar Negara kali ke 15 di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur hari ini.

Kata Jamil, kos itu juga berbeza kerana mengambil kira dari segi topografi atau bentuk muka bumi.

"Apatah lagi laluan kereta api ini akan melalui banjaran Titiwangsa di mana terdapat terowong sepanjang 50 kilometer.

"100 kilometer pula banjaran-banjaran yang terpaksa dilalui dengan jejambat dan segala macam sebab kereta api nak lalui bukit-bukit yang ada untuk menghubungkan banjaran ini. Yang itu kita kena faham," kata Jamil.

Jamil yang juga anggota Parlimen Jerai berkata demikian mengulas kritikan sesetengah pihak berhubung jumlah kos yang bakal dibelanjakan untuk ECRL.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini dilaporkan kesal dengan tindakan segelintir pihak yang didakwanya mencari pelbagai alasan untuk mengecam beliau termasuk usahanya mencari pelaburan asing.

Najib, yang juga presiden Umno, berkata usaha beliau untuk meningkatkan ekonomi negara dengan membawa pelabur asing turut dikecam dan dilabel sebagai cuba menggadai negara.

Pembinaan ECRL sepanjang 600 kilometer diumumkan Najib semasa membentangkan Bajet 2017 bulan lalu dan ia akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Lembah Klang dengan Kuantan, Pahang sehingga ke Terengganu serta Tumpat di Kelantan.

 

Lihat Komen
ADS