MARA Digital kini boleh mendabik dada apabila berjaya mencatatkan hasil jualan sebanyak RM18.4 juta hanya selepas setahun beroperasi.

Bahkan kejayaan itu sekali gus didakwa menafikan persepsi negatif sesetengah masyarakat yang sebelum ini meragui kemampuan usahawan bumiputera menjalankan perniagaan di MARA Digital.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ekoran kejayaan besar itu MARA Digital kini akan diperluaskan ke setiap negeri sepanjang 2017.

"Ramai yang agak pesimis dengan MARA Digital dan mereka menjangkakan MARA Digital hanya mampu bertahan selama tiga hingga empat bulan saja.

"Tetapi setahun selepas kita buka, MARA Digital diterima ramai malah rata-rata peniaga membuat bayaran sewa ikut masa yang di tetapkan walaupun sebelum ini kita bagi enam bulan sewa percuma," kata Ismail.

Ismail berkata beliau juga menganggarkan MARA Digital mampu mendapat kutipan sehingga RM20 juta tahun depan.

"MARA Digital Shah Alam pun mencatatkan RM1.02 juta dalam tempoh enam bulan beroperasi jadi untuk tahun depan kita anggarkan kutipan RM20 juta," kata Ismail.

Beliau juga mahu pengusaha MARA digital mempertingkatkan lagi promosi perniagaan mereka agar terus menjadi tarikan utama pengguna.