BN mesti sepakat sebelum bentang pindaan Akta 355
Parti-parti komponen BN tidak boleh dipaksa untuk akur pada Umno berhubung rancangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355), sekurang-kurangnya dalam teori, kata Naib Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong.
Bagaimanapun, Yong mengakui Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ahmad Maslan bercakap perkara yang betul mengenai komponen BN tidak boleh membantah pindaan setelah kerajaan bercadang untuk mengambil alih rang undang-undang (RUU) pindaan itu.
"Secara teorinya, beliau (Ahmad) salah kerana ahli Parlimen komponen BN tidak boleh dipaksa (untuk menyokong RUU kerajaan)...Tetapi realitinya, beliau betul," kata Yong kepada Malaysiakini.
Beliau menjelaskan konvensyen parti BN akan akur apabila melibatkan mana-mana RUU kerajaan tetapi menegaskan parti-parti perlu bersetuju mengenainya terlebih dahulu.
Sehubungan itu, Yong berkata, parti-parti komponen BN perlu diberi peluang untuk meninjau cadangan pindaan Akta 355 dan menyuarakan bantahan sebelum ia dibentangkan.
"Gerakan tidak akan menyokong apa jua undang-undang yang tidak mengikut Perlembagaan ... sebab itulah Presiden Gerakan, (Datuk Seri) Mah Siew Keong kemukakan cadangan untuk membentuk jawatankuasa terpilih parlimen (mengenai perkara itu)," ujar beliau.
Kerajaan dijadualkan mengambil alih RUU ahli persendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta 355 selepas usul berhubung perkara itu dibaca buat kali kedua pada sesi Dewan Rakyat pada bulan Mac depan.
Ia adalah susulan selepas Abdul Hadi membacakan versi usul yang menjalani semakan semula di Dewan pada bulan lepas.

