Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Luculah, kata MT Umno mengenai Wan Azizah jadi PM
Diterbitkan:  Dec 19, 2016 10:02 AM
Dikemaskini: 2:09 AM

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan cadangan Lim Kit Siang mengenai kemungkinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi perdana menteri interim hanyalah satu jenaka politik yang melucukan.

Beberapa hari yang lalu, veteran DAP itu mencadangkan Wan Azizah dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri sementara jika pembangkang memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Matlamat tersebut sangat tidak realistik. Bayangkan bila sudah mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, Wan Azizah perlu kosongkan kerusi, buat pilihan raya kecil dan banyak lagi proses yang pasti bukannya sekejap," ujar beliau, memetik laporan Umno Online.

Sebelum ini, Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mengesahkan pembangkang akan mengadakan mesyuarat khas untuk membuat keputusan mengenai calon perdana menteri yang "komited kepada agenda reformasi".

"Saya nyatakan perdana menteri perlu komited kepada agenda pembaharuan - agenda yang harus menjadi tumpuan.

"Ketepikan sindiran, kita berpegang kepada keputusan bersama kami dan anda tahu nama personaliti yang dipenjarakan," katanya kepada Malaysiakini.

Mahkamah Persekutuan Rabu lalu menolak permohonan semakan bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap sabitan dan hukuman Liwat II.

Oleh itu, Anwar dijangka kekal dipenjara sehingga pertengahan 2018.

Sementara Wan Azizah bakal diangkat ke jawatan nombor satu negara itu, Muhyiddin Yassin disebut-sebut calon terbaik bagi jawatan timbalan perdana menteri sementara.

Tinjauan Institut Darul Ehsan (IDE) baru-baru ini mendapati bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi pilihan utama orang Melayu sebagai tokoh pembangkang untuk memimpin negara ini.

Seramai 29 peratus memilih Mahathir, diikuti Anwar dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang masing-masing mendapat mata 25 peratus.

Muhyiddin mendapat 13 peratus sokongan.

Mengulas lanjut, Mahdzir yang juga menteri pendidikan berkata, pembangkang kini cuba membuat helah kepada rakyat dengan menunjukkan kononnya pakatan itu boleh memimpin sekiranya diberi peluang memegang tampuk pemerintahan.

Bagaimanapun, jelas Mahdzir, kenyataan bercanggah daripada setiap parti pembangkang mengenai siapa calon perdana menteri yang layak jelas menunjukkan tiada keyakinan sesama mereka.

"Proses untuk mengangkat Anwar sebagai perdana menteri sebaik mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, bukanlah perkara mudah," jelas beliau lagi.

Lihat Komen
ADS