Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Ketika cadangan penggabungan parti ditolak mentah-mentah dua peminpin PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Azmin Ali pula sebaliknya berkata, ia wajar dipertimbangkan.

Kata timbalan presiden PKR itu ia perlu diteliti kerana melibatkan soal kedinamikan parti dan sesebuah pertubuhan yang demokratik perlu bersikap terbuka.

"Bagi saya kita tak boleh ambil sikap acuh tak acuh atau ketepikannya (langsung).

"Cadangan berkenaan boleh dibincangkan dan pertimbangkan tetapi bukanlah kerana ada perebutan kerusi," katanya kepada media di Shah Alam hari ini.

Azmin yang juga menteri besar Selangor berkata, setiap pihak diharap tidak mewarisi "cara pemikiran lama" kerana ia bukanlah "reformasi" yang diharapkan.

Mengulas lanjut, anggota parlimen Gombak itu berkata ada ketika tertentu penggabungan sesebuah parti dirasakan perlu kerana pihak yang terlibat mempunyai kekuatan tersendiri.

Langkah itu, katanya, boleh memberi manfaat kerana ia saling melengkapi dan mengatasi kekurangan satu sama lain

"Seperti Parti Rakyat Malaysia (PRM) dengan Parti Keadilan Nasional sebelum ini (bergabung menghasilkan PKR).

"Tujuan kita bergabung itu kerana kedua-dua parti mempunyai kekuatan.

"PRM merupakan parti yang lama, yang telah diuji. PKR parti yang baru dan muda.

"Kalau kita gabungkan itu akan jadi suatu kekuatan baru," katanya selepas menghadiri majlis perasmian dan pelancaran Program Pengangkutan Awam Sekali Seminggu hari ini.

Sebelum ini Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin menyatakan cadangan supaya PKR dan AMANAH bergabung dibangkitkan dalam mesyuarat dalaman partinya.

Kata Afif, penggabungan itu dicadangkan kerana ada pimpinan PKR berpendapat kedua-dua parti berkongsi nilai sama, termasuk pandangan terhadap Islam yang sederhana serta sifat pelbagai kaumnya.

Bagaimanapun idea berkenaan segera ditolak Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, serta Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub.

Kata Saifuddin idea berkenaan masih terlalu awal untuk dibincangkan dan bersifat pramatang walaupun mengakui Afif berhak memberi pandangan mengenainya.

“Biar AMANAH diberi peluang untuk kembangkan sayap mereka,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Azmin beliau berpendapat mungkin Pemuda PKR melihat ada alasan untuk AMANAH dan PKR digabungkan.

Bagaimanapun, ADUN Bukit Antarabangsa itu menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan muktamad mengenainya.

"Kita serah kepada anggota parti dan pimpinan untuk memikirkan apakah ia akan beri penambahbaikan kepada kedaan sedia ada," katanya.

Lihat Komen
ADS