Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Amil Salleh berkata beliau akan meneruskan usahanya untuk menggalakkan lebih ramai anak muda bergiat aktif dalam parti itu, selepas beliau dibebaskan oleh Panel Rayuan Umno daripada hukuman penggantungan selama tiga tahun semalam.

Beliau adalah antara sembilan pemimpin dan ahli, termasuk seorang setiausaha Parlimen, yang dibebaskan oleh panel tersebut daripada tuduhan terbabit dalam politik wang sewaktu pemilihan Umno tahun lalu.

Mereka ialah Samsu Baharun Abdul Rahman (Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Silam), Sulaiman Taha (ketua Umno Labis), Hamzah Janang (naib ketua Umno Sepanggar) dan Datuk Tengku Zainuddin Tengku Zahid (naib ketua Umno Marang).

Turut dibebaskan ialah Rohani Abdul Rahman (ketua Wanita Umno Bahagian Segambut), Gurahman Lolong (ketua Pemuda Umno Bahagian Kudat), dan dua ahli biasa Mohd Ariff Abdul Aziz (Titiwangsa) dan Abdul Rahman Mohamed Nor (Tenggara).

"Saya berjanji akan menjadikan Umno Bandar Tun Razak sebagai yang terbaik," katanya dihubungi malaysiakini semalam.

Amil berkata, beliau telah digantung sebagai Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak selama sembilan bulan mulai bulan Ogos lalu kerana didakwa menaja satu rombongan ahli Umno cawangan ke Kedah.

Teruskan khidmat

Bagaimanapun, beliau menafikan membayar wang kepada rombongan tersebut dan sebaliknya mendakwa ia dilakukan oleh beberapa ahli bahagian itu yang mahu menjatuhkan beliau.

Sementara itu, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenang berkata, keputusan yang dibuat oleh Panel Rayuan itu membuktikan beliau tidak terlibat dengan politik wang.

"Saya kini dapat berkhidmat sebagai ketua bahagian dengan lebih berkesan seperti yang diharap-harapkan oleh ahli Umno Labis," katanya.

Menurutnya, beliau dikenakan penggantungan selama tujuh bulan kerana didakwa membahagikan RM200 kepada 41 cawangan Umno Labis dalam satu majlis pertengahan tahun lalu.

Sebaliknya, kata beliau, wang tersebut adalah sumbangan Perhubungan Umno Johor kepada cawangan Umno dalam Bahagian Labis bagi melicinkan pentadbiran Umno di cawangan masing-masing.

Sementara itu, di Pulau Pinang, Naib Ketua Umno Bahagian Jelutong, Syed Hussein Syed Mohamed akan memangku jawatan ketua bahagian itu ekoran keputusan Panel Rayuan Lembaga Disiplin parti mengekalkan penggantungan keanggotaan terhadap ketua bahagian Datuk Abdul Rashid Ismail dan timbalannya Datuk Azman Shah Omar Shah.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Abdul Rashid Abdullah memberitahu Bernama , Syed Hussein akan menjalankan tugas ketua bahagian kerana beliau adalah pemimpin terkanan dan telah dibebaskan daripada hukuman penggantungan itu.

Diambil alih sementara

Katanya, Badan Perhubungan Umno Negeri akan mengadakan mesyuarat bagi menyerahkan kembali pentadbiran dan pengurusan bahagian berkenaan setelah ianya diambil alih sementara selama hampir setahun oleh badan perhubungan.

Umno Bahagian Jelutong merupakan antara bahagian yang paling serius kehilangan pemimpinnya apabila hampir kesemua pemimpin utamanya termasuk ketua, timbalan ketua, naib ketua, setiausaha, ketua Puteri dan naib ketua Pemuda serta beberapa ahli jawatankuasanya digantung keahlian selama tiga tahun kerana melanggar tata etika pemilihan parti tahun lalu.

Ekoran tindakan Lembaga Disiplin parti itu, Badan Perhubungan Umno Negeri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melantik Ketua Umno Bahagian Bayan Baru Datuk Zain Omar untuk menjadi penyelaras sementara Umno bahagian berkenaan.

Panel rayuan menolak rayuan Abdul Rashid, Azman Shah serta bekas setiausaha bahagian itu Abdullah Mohamed Shariff. Bagaimanapun, ia menerima rayuan Syed Hussein serta Ketua Puteri Umno bahagian itu Wardah Abu Bakar dan Naib Ketua Pemuda Umno, Ahmad Shah Mohd Ali serta bekas ketua bahagian Tajul Arus Noordin dan ahli jawatankuasa bahagian Abdul Aziz Shaik Meera.

Syed Hussein ketika dihubungi menyifatkan "pembebasan" beliau dan beberapa pemimpin lain sebagai melegakan Umno bahagian yang sebelum ini kehilangan kepimpinan.

"Saya tidak dapat mengulas lanjut lagi dan masih menunggu perkembangan sebab saya belum menerima sebarang surat dari Umno pusat dan Umno negeri," katanya.