SPRM Kelantan tahan dua individu buat tuntutan palsu RM132,000
Seorang pengurus syarikat swasta berusia 49 tahun dan rakannya berusia 45 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) Kelantan berhubung tuntutan palsu melebihi RM132,000.
Pengarah SPRM Kelantan Datuk Moh Samsuddin Yusoff berkata kedua-dua lelaki terbabit ditahan di pejabat masing-masing di Kota Bharu, pada 2 petang semalam.
"Penahanan dua individu itu berkaitan tujuh dokumen invois tuntutan palsu yang dibuat kepada jabatan kerajaan.
"Bagaimanapun kedua-duanya dibebaskan pada hari yang sama dengan jaminan RM10,000 seorang dengan seorang penjamin," katanya dalam kenyataannya di Kota Bharu, hari ini.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan tuntutan palsu dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana memalsukan dokumen. -Bernama

