Pengarah Festival George Town, Joe Sidek menggesa artis tempatan tampil dan mengambil bahagian dalam acara itu tahun depan, yang akan memberi tumpuan kepada tema Asean.

Tarikh akhir untuk menghantar permohonan kepada Festival George Town 2017 (GTF2017) adalah pada 15 Januari.

Joe berkata terdapat banyak aduan mengenai kurangnya program untuk orang tempatan atau kaum Melayu sejak program itu dimulakan pada tahun 2008, selepas George Town menerima anugerah Tapak Warisan Dunia oleh Unesco.

"Sambutan daripada penduduk tempatan ini tidak begitu memberangsangkan. Kami menganjurkan sesi untuk mendengar permohonan daripada 15 buah negara, yang dihadiri oleh 22 orang, yang mana hanya empat orang tempatan.

"Ramai yang mungkin takut untuk mengisi borang. Jangan takut, hanya datang pada kami," kata Joe pada sidang media di Komtar hari ini.

Turut serta pada sidang media itu ialah Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Joe berkata, beliau menggesa NGO Melayu mengambil bahagian dalam festival itu dan bukannya menulis petisyen kepada Guan Eng untuk mengatakan bahawa kaum Melayu terpinggir.

"Tahun lepas, terdapat sekumpulan NGO Melayu yang mahu menulis petisyen kepada CM untuk mengatakan kita tidak melakukan cukup untuk orang Melayu, tetapi saya gesa mereka untuk datang dan bekerja dengan saya, dan bukannya menulis petisyen itu," katanya.

[Baca berita penuh]