Ekonomi Malaysia bergerak perlahan tetapi masih teguh walaupun terjejas oleh ketidaktentuan ekonomi di luar negara, menurut Bank Dunia.

Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia edisi Disember 2016 yang dikeluarkan hari ini meramalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.2 peratus tahun ini, berbanding lima peratus tahun lepas.

"Dalam konteks global di mana pertumbuhan telah merosot dan selalu ada ketidaktentuan, ini bermakna bahawa ekonomi Malaysia akan terus menjadi sangat teguh.

"Ini adalah sesuatu yang penting jika anda lihat di seluruh dunia. Bagi anda 4.2 peratus mungkin kedengaran tidak tinggi, tetapi dalam konteks persekitaran global, ia sebenarnya teguh dan agak kuat.

"Ia mempunyai kaitan dengan dasar makroekonomi asas yang baik.

"Dasar mengurangkan defisit berterusan, dan sasaran defisit tahun ini (3.1 peratus) akan dapat dicapai - hampir pasti - dan sasaran kerajaan ialah 3.0 peratus bagi tahun depan dan ini sekali lagi kami unjurkan akan dicapai," kata Pengarah Bank Dunia Asia Tenggara, Ulrich Zachau dalam ucapan pembukaannya pada pelancaran laporan itu.

Dalam pembentangannya kemudian, ahli ekonomi senior Bank Dunia bagi Malaysia, Rafael Munoz Moreno berkata KDNK Malaysia akan menyaksikan pertumbuhan berterusan tetapi lemah berbanding tahun akan datang.

Perdagangan global dan harga komoditi juga dijangka tinggi tahun depan berbanding tahun ini.

Selepas pelancaran itu, Moreno ditanya mengenai prestasi ringgit yang lemah berbanding dolar AS, dengan ringgit kini berada di titik paling lemah sejak Krisis Kewangan Asia 1998.

Beliau berkata pemulihan ringgit akan banyak bergantung kepada perkembangan luar yang mendorong banyak kemerosotannya.

[Baca berita penuh]